Video 1 jam Mega Unboxing 30 Produk #BMF Buy Muslim First


Video 1 jam Mega Unboxing 30 Produk #BMF Buy Muslim First.




Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

Kenapa Akaun Facebook Digantung, Dilumpuhkan dan Diharamkan?


Facebook ialah platfrom media sosial yang terbesar di dunia dengan lebih 2 billion pengguna aktif setiap hari.

Jika anda aktif menggunakan Facebook setiap hari, sama ada untuk bersosial, menulis, berniaga dan sebagainya, amatlah tidak menyenangkan jika akaun Facebook anda digantung / dilumpuhkan atau terus diharamkan.

Apakah perbezaan ketiga-tiga hukuman ini?

1. Digantung
- Anda tidak boleh login atau tidak boleh buat apa-apa pun di Facebook untuk jangka masa yang telah ditetapkan. Ada kalanya beberapa hari, ada kalanya beberapa minggu atau bulan.

2. Dilumpuhkan
- Anda boleh login dan guna Facebook tetapi beberapa atau ada "features" atau perkara yang terbatas seperti tidak boleh tambah friends, tidak boleh masuk / post di group, tidak boleh komen, tidak boleh like, tidak boleh share, tidak boleh buat post atau post anda tidak dapat dilihat oleh sesiapa dan lain-lain lagi "restrictions".

3. Diharamkan
- Ucaplah selamat tinggal kepada akaun anda kerana ianya sudah diharamkan oleh Facebook. Anda tidak boleh login dan kewujudan anda telah lenyap di Facebook.


________________

Menakutkan bukan?

Untuk orang biasa yang menggunakan Facebook sekali-sekala mungkin tidak terlalu terkesan. Tetapi untuk para peniaga, penulis, "influencers" dan orang yang bergantung kepada Facebook untuk urusan kerja / harian amatlah mengerikan.

Mari kita sama-sama semak apakah perbuatan yang membuatkan akaun kita digantung / dilumpuhkan dan diharamkan di Facebook.

1. Menambah friend dengan terlalu cepat dan kerap.

Satu perkara yang amat dititikberatkan oleh Facebook ialah platform ini adalah untuk bersosial. Apabila anda menambah friend dengan terlalu cepat menunjukkan anda seperti meyalahgunakan Facebook untuk tujuan selain itu. Ini dinamakan "abuse".

Nasihat saya, jika mahu add friend yang banyak, beri jarak masa antara proses penambahan friend itu. Contohnya 5 atau 10 saat. Lebih rawak lebih baik kerana Facebook mempunyai program yang mengesan perbuatan ini. Ada pola yang mereka tetapkan yang terus dapat menangkap anda.


2. Like / komen dan share dengan terlalu cepatdan banyak.

Sama juga senario seperti nombor 1, jangan buat perkara ini dengan terlalu cepat dan terlalu banyak dalam sehari. Ambil tahu mengenai jarak masa di antara like / komen dan share.

3. Like page terlalu banyak dalam sehari.

Ini juga akan dikesan oleh Facebook secara automatik. Selalunya dilakukan oleh fake akaun. Tetapi ada kalanya kita manusia biasa pun terbuat tanpa disedari. Jadi, berhati-hatilah mulai sekarang.

4. Berkongsi post terlalu banyak di Facebook Groups.

Facebook dapat mengesan perbuatan ini secara automatik atau melalui aduan pengguna Facebook lain. Cara untuk elakkan? Jangan berkongsi terlalu cepat, terlalu kerap dan terlalu banyak di group.

5. Membuat post yang berbaur lucah / ganas / perkauman.

Facebook ada program yang mengesan perkataan-perkataan yang bersangkut-paut dengan jenis post di atas. Ia akan digabungkan dengan aduan orang ramai dan hukuman akan dikenakan.

6. Membuat post yang mengajak kepada kebencian kepada individu / organisasi.

Facebook akan tahu mengenai hal ini dari aduan orang ramai. Facebook amat mengutamakan perkara yang positif, ini antara sebab kenapa tiada butang "dislike" di Facebook berbanding di Youtube yang mempunyai pilihan untuk "thumbdown" / "dislike" video.


7. Membuat post dengan terlalu cepat di wall sendiri.

Ini akan dikesan secara automatik.

8. Hubungan dengan organisasi yang dikategorikan bahaya oleh Facebook.

- Akaun anda kebarangkalian akan diharamkan terus jika Facebook mengesan anda menggunakan Facebook untuk menyebarkan info / propaganda organisasi yang bahaya seperti organisasi pengganas.

9. Memuatnaik bahan / video / lagu dari hak cipta yang anda tiada kebenaran untuk berkongsi.

Selalunya Facebook akan kesan secara automatik, tetapi ada ketikanya Facebook memerlukan aduan orang ramai atau pemilik hak cipta sebelum mengesan dan menghukum pengendali page atau akaun Facebook yang terlibat.

10. Aduan mengenai anda terlalu banyak dan kerap.

Di media sosial, Facebook terutamanya, kita perlu tahu yang tidak semua orang akan bersetuju dengan kita. Jika kita secara konsisten membuatkan orang tidak selesa dengan pendapat, pandangan dan post kita, kebarangkalin ini akan mendatangkan kebencian orang lain dan mereka akan membuat aduan yang kerap terhadap anda.

Apabila aduan itu terlalu banyak dan kerap, Facebook akan menghukum anda dengan menggantung akaun dan jika berterusan, mungkin akaun Facebook anda akan ditanam selama-lamanya.
__________________



Pada tahun 2018, Facebook mengeluarkan "Community Standards" yang baru bertujuan untuk mengawal penulisan dan posting yang tidak sesuai.

Standard ini wajib dipatuhi oleh semua pengguna Facebook yang jika dilanggar, bakal membuatkan akaun anda digantung / dilumpuhkan / diharamkan.

1. Keganasan dan Tingkah Laku

- Aktiviti pengganas
- Kebencian yang dirancang
- Pembunuhan beramai-ramai atau bersiri
- Penyeludupan manusia
- Aktiviti jenayah terancang
- Barangan kawalan

2. Keselamatan

- Eksploitasi seksual kanak-kanak (seperti imej bogel, walaupun mereka dipaparkan dengan "niat baik.")
- Imej keganasan seksual.
- Buli yang sengaja ditujukan kepada individu dengan niat merendahkan atau memalukan
- Gangguan agresif yang memberi tekanan atau intimidasi
- Mendedahkan maklumat peribadi yang boleh menyebabkan seseorang mengalami kecederaan fizikal atau kerugian dari segi kewangan.

3. Konten (Post / Pendapat / Pengisian) Yang Boleh Dipertikaikan

- Konten yang mendatangkan kebencian.
- Konten yang memuliakan keganasan atau meraikan penderitaan atau penghinaan orang lain. Namun, Facebook membenarkan imej atau konten yang meningkatkan kesedaran tentang isu-isu di atas. Walau bagaimanapun, dalam keadaan sedemikian, Facebook memberi amaran tentang kandungan grafik dan memerlukan penonton lebih dari 18 tahun atau lebih tua.
- Gambar / video bogel dan aktiviti seksual. Facebook boleh membenarkan jika ianya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, untuk pendidikan atau perubatan. Gambar seni (lukisan dan patung yang menggambarkan kebogelan) juga dibenarkan.
- Kandungan yang dianggap "kejam dan tidak sensitif" termasuk kandungan yang mensasarkan mangsa yang mengalami kerosakan fizikal atau emosi yang serius.


4. Integriti dan Ketulenan

- Spam. Maklumat yang mengelirukan atau tidak tepat untuk mengumpul likes dan followers).
- Menyebarkan / menulis tafsiran yang salah.
- Menyebarkan berita yang tidak benar. Facebook akan mengurangkan "reach" / capaian post sebegini supaya tidak ramai yang dapat melihatnya di newsfeed.

5. Menghormati Harta Intelek

- Facebook tidak membenarkan seseorang menghantar kandungan yang dimiliki oleh orang lain, termasuk apa-apa dengan "hak cipta, tanda dagangan, dan hak undang-undang lain."
_________________________

Jangan anggap mudah segala info ini. Kerana kewujudan anda di Facebook bergantung kepada betapa anda tidak melanggar semua peraturan yang telah ditetapkan.



Satu lagi perkara yang penting, memandangkan Facebook boleh menerima aduan, perkara ini boleh disalahgunakan untuk menyebabkan sesiapa dihukum oleh Facebook. Mereka akan menggunakan akaun-akaun palsu atau kawan-kawan untuk report post kita. Jadi, berhati-hatilah apabila menulis. Kerana kita tidak tahu berapa ramai yang tidak menyukai penulisan kita.

Jangan terlalu keras apabila berbicara walaupun kita di pihak yang benar. Nasihat saya, ulaslah isu dan bukannya individu. Walaupun anda betul, jika anda menjerit-jerit dan mencemuh orang yang tidak betul pun tidak ada gunanya.

Cukuplah seminggu saya dipenjara. Buat post tetapi tiada sesiapa yang nampak. Sungguh menyedihkan dan menyeksakan. Puncanya ialah saya terlalu banyak berkongsi post di group.

Semoga ianya tidak terjadi kepada anda. Sekali Facebook mengharamkan akaun anda, kebarangkalian untuk dapat semula amatlah tipis. Bayangkan 2 billion pengguna Facebook kena layan. Rayuan anda giliran ke berapa agaknya? Renung-renungkanlah.

Kongsikan maklumat penting ini buat panduan semua. Saya percaya ramai yang memerlukannya.

Kalau nak belajar bagaimana nak menggunakan Facebook dengan lebih baik, meningkatkan nilai Facebook, menambah bilangan followers, menulis dengan baik dan macam-macam lagi teknik dan cara membina branding di Facebook, sertai kelas online SAYA NAK VIRAL oleh saya.

Batch ke 10 akan bermula, whatsapp saya sekarang untuk sahkan tempat.

▶️ http://broohsem.wasap.my/ ◀️

Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

Siapa pemilik sebenar Gula Prai?


Siapa pemilik sebenar Gula Prai?

Terlalu ramai yang keliru berkenaan hal ini. Untuk menjayakan kempen #BMF - Buy Muslim First, kekeliruan ini perlu dirungkaikan.

Pemilik sebenar mengikut pegangan saham ialah :

▶️ 51% - Felda Global Ventures Sdn. Bhd. (FGV)

▶️ 15% - Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad

▶️ 13% - Permodalan Nasional Berhad (PNB)

▶️ 6% - Employees Profident Fund Board (EPF)


Dan pemegang-pemegang saham yang lain.

Betul sebelum ini Gula Prai dimiliki Tan Sri Robert Kuok, tetapi beliau telah menjual sahamnya kepada FGV pada tahun 2011.

Info tambahan :

Malayan Sugar Manufacturing Co. Bhd (MSM) atau MSM Malaysia Holdings Berhad berkuatkuasa 10 Mac 2011, ialah sebuah syarikat pengilang gula Malaysia yang terlibat dalam perniagaan berasaskan proses penapisan gula. MSM ialah anak syarikat kepada FGV Holdings Berhad.

Pada Oktober 2009, PPB Group yang dimiliki tokoh perniagaan, Tan Sri Robert Kuok mengumumkan penjualan keseluruhan ekuiti dalam MSM; 50 peratus saham Kilang Gula FELDA Perlis Sdn Bhd (KGFP); ladang tebu seluas 5,797 hektar di Chuping, Perlis dan 20 peratus saham dalam Tradewinds (M) Bhd, kepada FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) sebanyak RM1.2 bilion. Susulan transaksi itu, FELDA Global kini menguasai sehingga 70 peratus pembekalan gula di dalam negara, sekali gus menamatkan monopoli Kuok yang dikenali sebagai ‘Raja Gula’ dalam sektor itu di negara ini sejak 45 tahun sebelumnya.



Jadi, kini jelas status pemilikan Gula Prai. Ianya dimiliki dan dikeluarkan oleh syarikat Muslim. Di harap tiada lagi komen atau kenyataan Gula Prai bukan keluaran Muslim. Belilah Gula Prai tanpa was-was.

Marilah kongsi penulisan ini supaya lebih ramai orang tahu berkenaan hal ini.

Teruskan menyokong #BMF.


Sumber rujukan :

https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Malayan_Sugar_Manufacturing_Co._Bhd

http://www.bursamarketplace.com/mkt/themarket/stock/MSMH/ownership

Tengok video kami shopping produk Muslim di TESCO :


Sebarang copy paste tanpa kredit adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Sila tekan sahaja butang SHARE untuk terus kongsi.

Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

Utamakan Produk Jenama Muslim


Sudah tiba masanya kita berubah. Marilah kita sama-sama UTAMAKAN PRODUK JENAMA MUSLIM.

Di sini saya sudah kumpulkan beberapa produk keluaran syarikat Muslim mengikut jenis produk supaya senang untuk kita cari. Ini adalah sebahagian sahaja, saya pasti banyak lagi produk yang boleh ditambah di dalam senarai ini. Jika ada, sila maklumkan di komen.

Kita tak perlu tinggalkan apa yang kita suka sebelum ini. Kita hanya tukar jenama sahaja.

Apakah kelebihan mengutamakan produk jenama Muslim ini?

1. Memperkasakan ekonomi umat Islam.
2. Menstabilkan harga barangan.
3. Memecahkan monopoli jenama-jenama besar.
4. Memperkenalkan produk dan jenama kecil.
5. Menggalakkan persaingan yang sihat.
6. Memberi peluang syarikat Muslim untuk berkembang.
7. Kepelbagaian jenama dan produk di pasaran.
8. Memulangkan kembali kuasa memilih kepada pengguna.
9. Menggalakkan pertumbuhan syarikat baru dan jenama baru.
10. Memacu kemajuan ekonomi negara Malaysia.
11. Menambah keyakinan pengguna Muslim.

Lihatlah semua produk dan jenama di dalam gambar yang telah saya kumpulkan. Apabila kita keluar membeli barang keperluan nanti, ingatlah jenama itu.

Marilah kita bersama-sama UTAMAKAN PRODUK JENAMA MUSLIM.



Kongsikan penulisan ini sebanyak mungkin sama ada di Facebook, Whatsapp, Telegram dan Instagram. Gelombang perubahan ini perlu sama-sama digerakkan oleh semua umat Islam di Malaysia.

Jika kita tidak berubah, jangan kita mengeluh dengan pilihan yang kurang dan harga barangan yang tinggi. Tunjukkan pada dunia yang kita boleh dan kita umat Islam boleh bersatu dengan aman damai.

Cadangan buat semua pengeluar produk jenama Muslim. Inilah masanya untuk anda menyerlah. Inilah masanya untuk anda meyakinkan kami semua yang produk anda setanding dengan produk jenama lain.

Saya sarankan, mula promosikan jenama anda. Ambil gambar jenama dan produk anda cantik-cantik dan upload sebanyak mungkin di media sosial, website dan blog. Untuk buat penulisan ini pun agak susah kerana kekurangan gambar produk yang cantik dan menarik.

Perubahan ini bukan hanya di bahagian pengguna sahaja, pengeluar juga bertanggungjawab untuk menyediakan produk yang berkualiti tinggi dan nampak hebat. Upahlah Graphic Designer yang bagus untuk mencantikkan produk dan upahlah photographer yang bagus untuk mempersembahkan produk anda dengan lebih menarik.

Pengguna sudah melapang dada untuk menerima anda. Anda hanya perlu bantu kami bantu anda.

Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

























Menantu Bukan Pilihan dan Mentua Perosak Rumah Tangga


Menantu Bukan Pilihan dan Mentua Perosak Rumah Tangga.

Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.

Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.

Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.

Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.


Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.

Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.

"Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka". Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.

Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.



Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?

"Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur"

Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.

Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.


Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.

Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.

Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.

Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.

Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. "Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?", "Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu", "cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam".


Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang Ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.

Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. "Bodoh tu nanti berjangkit kat anak" katanya.

Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.

Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.

Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.

Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.

Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.

Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.


Kadang-kala orang tua ini memang tidak boleh berubah. Anak perlulah memainkan peranan yang teramat penting untuk seimbangkan kembali situasi yang sentiasa tegang ini.

Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.

Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.

Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.

Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.

Kepada mentua, insaflah. Berhenti merosakkan keluarga anak anda sendiri. Buang ego itu ke tepi, pilihan anak perlu dihormati selagi ianya tidak memudharatkan. Berhenti cuba mengawal semua benda. Janganlah memaksa anak dan menantu menjadi seperti yang anda mahukan dan menjadi keluarga yang sama seperti keluarga anda. Setiap manusia itu unik dan ada keperluan dan minat masing-masing. Biarlah anak dan pasangan mereka menentukan arah tuju keluarga mereka. Itu hak mereka sendiri, bukan anda.

Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.

Kongsikan penulisan ini. Semoga ramai yang lebih peka terhadap masalah ini dan semoga menantu bukan pilihan ini terbela.

Adakah anda menantu bukan pilihan? Pernah lalui perkara seperti ini? Kongsikan di komen untuk manfaat semua.

Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

Punca Pasangan Semakin Tawar Hati dan Cara Memperbaikinya


Punca Pasangan Semakin Tawar Hati dan Cara Memperbaikinya.

Pernah tak ternampak pasangan yang sudah tua  di restoran, di taman atau di mana-mana sahaja, nampak sangat romantik dan saling sayang-menyayangi.

Mereka sering berpegangan tangan, berkepit seperti orang muda dan bergelak ketawa. Kadang-kala tangan suami di pinggang, tangan isteri pula memeluk lengan suami, yang suami suapkan makanan untuk isteri, yang isteri suapkan makanan buat suaminya, secara spontan si suami nampak mencium atas kepala isterinya dan isterinya jelas menunjukkan riak wajah kebahagiaan.

Kita yang menyaksikan insiden itu tersenyum sendirian. Di dalam minda kita tercetus keinginan untuk merasai nikmat kebahagiaan seperti itu nanti.


Tapi, kenapa baru beberapa tahun berkahwin, ramai yang sudah tawar hati dengan pasangannya? Orang di hadapannya tidak lagi menarik dan tidak lagi mencetuskan kecintaan di dalam hati.

Sentuhan tidak lagi meremangkan bulu roma dan mengakibatkan renjatan elektrik manja. Perkataan istimewa itu telah bertukar menjadi biasa. Perkataan bahagia itu lama kelamaan makin dipertikaikan oleh diri sendiri.

Bahagiakah aku? Kenapa aku rasa terlalu biasa? Kenapa tidak seperti dulu? Adakah aku sudah tidak mencintai dia?

Sedang asyik mengelamun, kita dilempang dengan realiti. Anak sudah berderet, rumah dan kereta sama-sama tanggung hutangnya. Setiap bulan pasti ada masalah yang timbul.


Kenapa perkara ini terjadi? Kerana semakin lama perkahwinan itu kehilangan manisnya? Ini antara sebab-sebabnya.

1. Curang.
- Ini adalah perkara paling utama yang menyebabkan pasangan tawar hati. Sesungguhnya pengalaman dicurangi sangat tidak boleh diubati. Tidak kira lah berapa kali. Sedangkan yang pertama kali itu sendiri sudah amat menyakitkan, inikan pula yang kedua, ketiga dan seterusnya. Jika anda pernah curang, tidak kira anda suami atau isteri, andalah punca pasangan anda tawar hati. Jangan buat tak tahu pula.

2. Melebihkan orang luar berbanding pasangan.
- Sama ada ibu-bapa atau adik-beradik sendiri. Apabila sudah berkahwin, tiada orang lain yang lebih faham apa yang kita lalui melainkan pasangan hidup kita. Jadi, apabila pasangan anda sudah menjadi orang yang tidak penting di dalam membuat keputusan keluarga, pastinya mereka semakin hari semakin tawar hati dengan anda.

3. Tidur berasingan.
- Amalan tidur berasingan ini amat merosakkan. Alasan biasa ialah anak ganggu, tertidur di sofa kerana melayan tv, isteri tidur dahulu kerana suami bermain game atau tidak langsung rasa keperluan untuk tidur bersama. Pasangan yang belum berkahwin bersungguh-sungguh menyorok sana sini, sewa hotel dan sebagainya untuk tidur sekali secara haram, tetapi pelik pasangan yang berkahwin tidak mahu kenikmatan tidur bersama pasangan.

4. Tidur bersama tetapi jiwa tiada.
- Hanya beberapa inci sahaja yang menjarakkan antara suami dan isteri, tetapi pada hakikatnya, pasangan ini sangat jauh kedudukannya. Seorang di dunia Facebook, seorang lagi di Instagram. Kedua-duanya melihat kegembiraan keluarga lain tanpa berusaha untuk memperbaiki keluarga sendiri. Ada yang langsung tidak mempedulikan pasangan di sebelah sehingga memakai earphone supaya tidak membuat bising dan dunia sementara itu tidak diganggu.


5. Pasangan makin kurang memandang muka dan mata.
- Nampak seperti tidak penting, tetapi pandangan mata ini sangat memberi erti. Apabila seseorang bercakap atau mendengar orang lain bercakap, adalah amat penting kita ada "eye contact" yang menunjukkan adanya hubungan kuat pada masa itu. Apabila pandangan ini telah tiada, ini bermakna yang mendengar tidak lagi fokus manakala yang bercakap akan terasa tidak berguna atau tidak penting. Dari sini datangnya perasaan tawar hati itu.

6. Tiada lagi sentuhan secara rawak.
- Sesuatu keadaan atau benda, apabila ianya sentiasa sama, pastikan akan menjadi suatu yang bosan dan berulang-ulang. Sentuhan rawak ini penting kerana ia bagaikan memberi sentuhan baru di dalam rutin kehidupan yang sama. Sama ada kucupan secara tiba-tiba, pelukan tanpa dirancang atau usapan yang tdak dipaksa. Semua ini umpama memberi nafas baru di dalam kehidupan berumah tangga.

7. Terima kasih yang sudah luput tarikh.
- Kita sering berbicara mengenai tanggungjawab suami dan isteri, tetapi pernah tak kita bincangkan mengenai kepentingan berterima kasih kerana menunaikan tanggungjawab itu? Walaupun ianya satu tanggungjawab yang perlu dilakukan, daya usaha itu perlu diperakui dan dipuji.

"Terima kasih sayang kerana susah payah kerja untuk cari rezeki sayang dan anak-anak". "Terima kasih sayang kerana basuhkan baju abang". "Terima kasih sayang kerana bantu abang bayarkan duit pengasuh setiap bulan". "Terima kasih sayang kerana sanggup berkorban keinginan abang demi kami".

Mudah, tetapi susah. Apabila tiada lagi perakuan sebegini, kasih sayang itu semakin lama semakin terhakis.


8. Tiada lagi komunikasi dua hala.
- Semuanya saya, saya, saya apabila yang sepatutnya ialah kami, kami dan kami. Pandangan pasangan tidak lagi diendahkan. Semua perkara yang ingin dilakukan tidak lagi dibawa berbincang. Yang suami tidak peduli, yang isteri tidak mengendahkan. Apabila tidak lagi bercakap dengan bahasa yang sama, perasaan sayang itu semakin pudar warnanya. Akibatnya, akan lebih pergaduhan dari perbincangan.

9. Hubungan kelamin tidak lagi menjadi kebiasaan.
- Antara kenikmatan alam perkahwinan ialah tiada lagi tembok pemisah antara seorang lelaki dan seorang wanita. Kedua-duanya bebas meluahkan kecintaan secara fizikal antara satu sama lain. Ianya halal dan amat disarankan. Namun, apabila ianya menjadi semakin kurang, ikatan kuat yang mengikat suami dan isteri bakal putus pada bila-bila masa sahaja.

10. Tiada lagi layanan mesra.
- Balik kerja tidak disambut, makan suami tidak terjaga, isteri jarang memasak, keperluan isteri tidak dipandang suami, masa rehat isteri tidak menjadi kepentingan, keadaan rumah yang tidak terurus hasil dari tiada kerjasama dan hanya fokus pada anak-anak sahaja. Semua perkara ini umpama kanser yang merebak secara perlahan.

11. Tidak lagi menjaga penampilan diri.
- Perkahwinan sepatutnya tidak menjadi sebab untuk tidak lagi menjaga penampilan diri. Dahulu sebelum berkahwin, si suami sangat segak umpama pelakon terkenal dan si isteri bersiap cantik bak bidadari apabila bertemu. Namun, setelah berkahwin, semuanya hilang. Bagaimana perasaan itu boleh kekal sama? Sudah semestinya akan berbeza.

12. Tidak ingat tarikh-tarikh penting.
- Bukan perlu ingat tarikh, hari, masa, saat kali pertama bertemu pun. Cukup sekadar mengingati tarikh ulangtahun perkahwinan dan hari lahir. Ramai yang sudah tidak mempedulikan lagi tarikh ini. Sebenarnya tarikh ini amat penting untuk kembali menyegarkan semula bibit-bibit cinta.
____________________



Kembalikan rasa cinta di dalam hati, ambil iktibar dari perkara di atas. Jika ada situasi di atas berlaku di dalam keluarga anda, berubahlah ke arah yang lebih baik. Rawat ia sebelum terlambat. Jika suatu hari nanti hati itu sudah tiada, buatlah apa pun, ianya menjadi tidak berguna lagi.

Ini antara cara untuk detikkan kembali rasa cinta itu :

1. Pergi bercuti.
- Bercuti adalah satu aktiviti yang sangat penting sebenarnya. Cuma ianya perlukan kos. Jadi, rancanglah dan kumpul duit sedikit-sedikit untuk tujuan itu. Beritahu kepada pasangan mengenai niat ini supaya pasangan akan lebih bersemangat. Pastikan percutian itu tidak ada tekanan dan lebih ke arah santai. In Shaa Allah sekembalinya dari percutian itu, hubungan akan menjadi lebih erat.

2. Cuba benda yang baru.
- Jika kita sudah biasa dengan rutin harian dan kehidupan, cubalah perkara baru. Tanyalah isteri atau suami, apa yang sudah lama diingininya tetapi tertahan kerana tiada maklumbalas positif.

Sebagai contoh, si isteri suka berjalan di IKEA. Jika sebelum ini anda menolak kerana malas, ubahlah, layankan permintaan isteri itu. Kadang-kala bukan mereka nak beli apa pun, cuma nak merasakan kenikmatan berangan dan khayalan rumah idaman mereka.

Atau, si suami suka sedikit kenakalan di bilik tidur, apa salahnya layan. Mungkin suami ada hasrat mahu isterinya memakai jenis pakaian yang disukainya, pakaikan je. Bukannya susah pun. Keseronokan itu akan sama dirasai.


3. Utamakan masa dengan keluarga berbanding orang lain.
- Keluarga dahulu, baru orang luar. Tanamkan dalam minda. Ingat, apabila kita tua nanti, apabila kita sakit nanti, bukan kawan-kawan yang akan jaga kita, tapi pasangan kita sendiri. Apabila pasangan semakin sedar yang dia kembali penting di dalam hidup pasangannya, rasa cinta itu dengan sendirinya akan berputik kembali.

4. Mula pegang tangan pasangan apabila berjalan atau sedang berehat di rumah.
- Sentuhan ini sangatlah penting. Ia bakal mengalirkan perasaan cinta tanpa perlu sebutan dan pandangan. Gunakanlah ianya sebaik mungkin.

5. Sambutlah pasangan anda apabila mereka pulang.
- Segala kepentan, keletihan bakal pupus sebaik disambut dengan mesra tatkala pulang ke rumah. Apabila kepulangan itu dimulakan dengan positif, pastinya keadaan selepas itu akan jadi lebih baik.

6. Berhenti membebel di atas perkara yang kecil.
- Jika ianya kecil dan boleh diselesaikan sendiri, lepaskanlah. Janganlah bising dan membebel kepada pasangan dan membuatkan ianya menjadi besar. Sangat memenatkan sebenarnya membebel dan mendengar bebelan di atas benda yang sangat kecil. Cukup sekadar memaklumkan sahaja. Banyak beza antara memberitahu dan membebel. Satu dibuat dengan tenang dan ringkas. Satu lagi dibuat dalam keadaan tegang dan terlalu lama.


7. Kembali berhias untuk suami, kembali menjadi segak buat isteri.
- Tidak kira di luar atau di rumah, jagalah penampilan. Jika selama ini selepas mandi anda tak sikat rambut pun, biarkan je mengerbang macam Mak Limah, ubahlah. Jika selama ini anda pakai t shirt buruk je setiap kali keluar dengan isteri, cuba ubah dan pakai yang segak-segak untuk si dia. Saya jamin dia akan tersenyum manis.

8. Buat aktiviti bersama di rumah.
- Sama ada memasak, menghias rumah atau melayan drama, filem dan rancangan tv. Buatlah bersama supaya ada sesuatu yang menggembirakan. Ia bakal meningkatkan perasaan sayang dan membina komunikasi yang baik.

9. Beri ME TIME untuk pasangan.
- Suami atau isteri perlukan ME TIME sekali sekala. Sama ada suami berjumpa rakan, berkonvoi atau isteri ke salon, spa atau berjalan dengan adik-beradik, rakan atau ipar wanita. Tak perlu selalu pun, sekali-sekala pun sudah cukup. Apabila seorang pergi, seorang lagi ambil alih tugas. Ini bakal memberi manfaat lain seperti membuatkan suami atau isteri lebih memahami tanggungjawab pasangannya.

10. Lebihkan ciuman dan pelukan.
- Janganlah tetapkan dalam minda ciuman dan pelukan itu hanya untuk seks sahaja. Ianya merangkumi lebih dari itu. Cuba mula tetapkan dalam minda yang ciuman dan pelukan itu adalah cinta dan kecintaan. Ciuman mesra bakal mendetikkan rasa sayang, pelukan pula menambah rasa cinta dan ketenangan. Amalkan selalu, perbanyakkannya. Saya jamin keluarga anda akan lebih bahagia.

11. Mula mendengar.
- Lelaki sering ada masalah fokus mendengar, wanita pula ada masalah pendengaran dikaburi dengan percakapan dari mulut sendiri. Lebihkan mendengar dan ingat apa yang didengari. Cuba dengan apa sebenarnya yang ingin disampaikan. Jika ada kemampuan dan keperluan, buatlah. Pasti anda akan lebih dihargai.
____________________


Semoga dengan perkongsian ini lebih ramai pasangan membuka mata dan menerima hakikat yang perhubungan mereka di dalam bahaya. Tetapi, janganlah kecewa. Masih ada masa untuk orang yang telah sedar. Buatlah bahagian kita dengan sebaiknya.

Kongsikan penulisan ini untuk manfaat pasangan anda dan orang disekeliling anda.
Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

Suami Isteri Tidur Berasingan - Jangan Amalkan


Sedar atau tidak, sudah menjadi kebiasaan pada masa kini, pasangan suami isteri terpaksa tidur berasingan disebabkan anak-anak.

Pertamanya, kerana ada anak kecil. Untuk satu katil bersaiz queen atau king sekalipun, memang agak sempit dan membahayakan jika 2 orang dewasa dan bayi atau anak kecil tidur bersama. Risiko terhempap dan tertutup ruang untuk bayi bernafas amat menakutkan sekali. Semasa tidur, tidak semua boleh sedar apabila ianya terjadi.

Disebabkan itu, ramai pasangan mengambil keputusan untuk tidur berasingan. Selalunya si suami akan mengalah dan tidur di tilam lain di sebelah katil atau di bilik yang lain. Ini dapat mengelak dari risiko perkara yang tidak diingini berlaku dan memberi ruang kepada isteri untuk tidur dengan lebih selesa.


Keduanya, kerana masalah anak yang sudah besar tidak mahu tidur sendiri. Masalah ini subjektif, ada keluarga dapat tangani masalah ini dengan mudah. Penerimaan dan kefahaman anak pun mudah. Namun, ada juga keluarga yang masih bergelumang dengan masalah ini. Kerjasama dari anak kurang, ketegasan dari kedua ibu-bapa pun kurang. Ada kalanya, masa juga memainkan peranan. Bila tiba masanya, anak itu akan rasa mudah untuk tidur bersendirian.

Untuk menyelesaikan masalah ini, saya cadangkan ibu-bapa sediakan tempat tidur yang selesa dan menarik buat anak. Janganlah ala kadar sahaja. Bagi mereka rasa yang itu adalah khas untuk mereka. Bagi mereka rasa yang itu zon selesa buat mereka. Jika anak perempuan, hiaslah dengan cantik. Jika anak lelaki, mungkin adanya mainan boleh membantu.


Selepas itu, boleh juga amalkan menemani mereka beberapa ketika sebelum mereka tidur. Sambil lampu tertutup, usap mereka, bercakap dengan mereka dan biarkan mereka tenang dan rasa selamat. Cara ini sangat membantu.

Ketegasan juga memainkan peranan penting. Sampai bila kita perlu dikawal oleh anak? Tidur berasingan ini mendatangkan kesan dan masalah yang lebih mendalam.

Masalah ini tidak kami jangkakan sebenarnya. Setelah mempunyai 3 orang anak barulah kami sedar. Ada kemungkinan, isteri saya telah merasakannya dahulu tetapi tidak sampai ke tahap ini. Tetapi, ia mungkin juga akan terjadi kepada anda seawal anak pertama lagi.

Dari pengalaman kami sendiri buat masa ini, ada beberapa kesan yang tidak baik akibat dari tidur berasingan ini.


1. Isteri bertambah stres.
- Untuk makluman, seorang wanita bergelar isteri dan mempunyai anak, hampir pasti akan mengalami stres di rumah. Tidak kira bekerja atau suri rumah sepenuh masa, mereka akan stres dengan kerja-kerja di rumah, dengan anak, dengan suami dan lain-lain.

Secara semulajadinya, tidur bersama suami akan mengurangkan stres dengan amat berkesan. Sentuhan dan pelukan suami sangat membantu menenangkan jiwa, menjadikannya selesa, melapangkan fikiran dan mengurangkan tekanan yang ada. Apabila tidur berasingan, stres yang terkumpul dari pagi lagi itu tidak dapat dikurangkan dengan berkesan. Akhirnya ia akan sentiasa bertambah dan bertambah dan mengakibatkan masalah lain seperti kemurungan.

2. Aktiviti "Pillow Talk" tidak dapat dilakukan.
- Seperti dalam penulisan saya sebelum ini berkenaan kebaikan Pillow Talk, pasangan akan dapat memperbaiki komunikasi, menambah kepercayaan, mendalami hati pasangan dan lain-lain lagi.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10156935338535490&id=633435489

3. Naluri isteri itu sendiri ingin dimanja. Apabila pasangan tidak tidur sekali, perasan dimanja itu hilang. Dari sinilah bakal mendetikkan perasaan tidak disayangi, dicampur dengan pemikiran lain seperti suami telah berubah hati dan lain-lain lagi.



Sangatlah tidak baik kerana apabila adanya tanggapan negatif seperti ini yang sentiasa bermain di fikiran isteri, bakal menyebabkan pergaduhan yang suami sendiri tidak tahu puncanya. Inilah sebabnya suami perlu faham perkara yang nampak ringan sebegini kerana bagi isteri, perkara ini adalah serius.

4. Antara salah satu makna perkahwinan adalah hidup berpasangan, berdua dan saling lengkap-melengkapi. Jika tidur berasingan ini diamalkan, akan ada rasa kekurangan dalam hidup. Kenikmatan alam perkahwinan dirasakan tidak sempurna dan tidak lengkap.


Isteri bakal bertanya pada diri sendiri, kenapa begini? Kenapa ada yang tidak kena? Dia kan suami aku? Aku kan isteri dia? Kenapa tak tidur bersama? Kenapa rasa macam sunyi ni? Walaupun suami melayan isterinya dengan baik. Itulah kesan yang semakin lama semakin memakan diri. Akhirnya si isteri akan rasa tidak bahagia dan suami akan terpinga-pinga mencari di mana silapnya.

5. Dekat tapi jauh. Betul, hari-hari jumpa. Betul, masa untuk bersama itu sentiasa ada. Tapi saat dan ketika waktu sebelum tidur dan perasaan adanya insan yang paling disayangi di sebelah itu hilang apabila tidur berasingan.

Pernah tak terjaga di malam hari dan merasakan kehangatan pasangan anda di sebelah? Kemudian, dengan perlahan-lahan anda pun memeluk erat tangannya, merapatkan diri dengan badannya dan bersama di dalam selimut yang sama? Saya jamin, anda rasa sangat bahagia walapun orang di sebelah tak sedar langsung, siap boleh berdengkur lagi. Bayangkan kenikmatan ini ditarik dengan situasi tidur berasingan ini? Sangat mengecewakan.


Tidak dinafikan juga, hubungan bersama akan menjadi kurang. Jika seorang di dalam bilik dan seorang lagi di luar, memang kebarangkalian itu sangat tipis. Hubungan spontan yang sangat memberi kesan baik kepada suami dan isteri juga tidak terjadi.
_____________________

Itulah serba sedikit kesan buruk apabila suami dan isteri tidur berasingan. Memang kadang-kalanya suami dan isteri terpaksa tidur berasingan kerana situasi anak kecil itu. Tetapi, percayalah, jika diusahakan, pasti boleh. Kita tak usahakan kerana kita tak tahu kesan buruk situasi tu. Sekarang kita dah sedia maklum. Jadi, saya sarankan anda semua mengambil berat masalah ini dah cuba usahakan sebaik mungkin.

Tak sangka nak tidur sekali pun susah walaupun sudah berkahwin. Itulah dia antara cabaran alam perkahwinan. Banyakkan membaca supaya kita menjadi pasangan yang berilmu dan tahu bagaimana mengatasi masalah apabila ia timbul.

Kongsikan penulisan ini supaya lebih ramai pasangan suami isteri sedar dan kembali tidur bersama.

Adakah anda sedang tidur berasingan? Rasa tak stres tu?

Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem