Pengorbanan Seorang Ayah Yang Jarang Diperkatakan


Ayah ini selalu dibayangi kisah-kisah pengorbanan Ibu. Tiada apa salahnya pun cuma sudah sampai masanya kita perkatakan berkenaan seorang ayah.

Apa yang sebenarnya seorang Ayah buat dalam keluarga? Nampak macam tiada yang istimewa. Tidak menarik, tidak mengujakan dan memberi inspirasi. Kita selalu nampak ayah, balik kerja, duduk depan tv, makan, suruh anak belajar, marah jika ada yang tak kena, tidur, tidur dan tidur. Betul tak?

Sebenarnya terlalu banyak yang Ayah lakukan. Cuma seperti semua perkara, jika kita tidak buka mata, jika kita tidak memasang telinga, kita akan terlepas pandang. dan tidak dapat mendengar.

Satu benda paling ringkas saya boleh ringkaskan, nikmat yang dikecapi sentiasa akan nampak biasa dan ianya cuma akan dirasakan apabila ayah sudah pergi. Percayalah, hanya yang sudah kehilangan ayah sahaja yang faham.

Mari kita selami kehidupan Ayah kita. Dari mata, telinga, badan dan turun ke hati serta jiwa orang yang kita sayangi.


1. Ayah selalu mengalah.
- Apa sahaja yang dilakukan, keluarganya menjadi keutamaan. Nak makan mana? Ayah biasa tanya. Nak jalan mana? Ayah tanya jugak. Semua benda tidak lagi menjadi pilihan Ayah kerana apa yang keluarganya inginkan jauh lagi penting dari diri sendiri.

2. Kehidupan lalu, sudah berlalu.
- Dulu Ayah seorang yang tak duduk diam. Ada sahaja perkara yang dilakukan. Tengok bola, lepak mamak dengan kawan, travel sana sini, konvoi dari Perlis ke Johor, memancing di sungai dan lautan, bersukan siang malam pagi petang, berada di hadapan skrin monitor atau telefon bergembira main game dengan orang di serata dunia dan membuat segala benda yang mengisi kehidupannya.

Tetapi semuanya ditinggalkan dan diletakkan di belakang. Masa itu semua sudah berakhir. Setiap momen untuk diri sendiri, lebih baik dihabiskan bersama anak dan isteri. Jika masih ada yang belum dapat meninggalkan gaya hidup lama, ketahuilah yang masa orang menyesuaikan diri ini tidak sama. Ada yang boleh terus berubah, ada yang memerlukan beberapa tahun.


3. Ayah sentiasa majukan diri untuk keluarganya.
- Sama ada di tempat kerja, kenaikan pangkat, bonus dan apa juga yang dapat menambah kebaikan untuk keluarganya pasti menjadi dambaan buat seorang Ayah.

Aku nak anak isteri aku senang. Itu yang sering bermain di kepala Ayah. Aku nak keluarga aku selesa, keluarga aku gembira. Aku nak diorang dapat apa yang diimpikan. Aku nak sediakan itu semua. Demi mereka. Aku akan berusaha bekerja dengan lebih baik. Aku akan buat lebih dari orang lain. Itu antara kata hati dan niat seorang Ayah  berkenaan dengan kerja dan kerjayanya.

4. Ayah tak cukup tidur.
- Katalah apa pun, kaki berdengkur, asyik tidur-tidur dan tidur je kerjanya. Balik rumah, tidur, balik rumah tidur. Ini yang orang selalu nampak, tetapi realitinya jauh berbeza. Ayah memang sentiasa tidak cukup tidur.

Kerja lebih, tenaga yang digunakan juga lebih. Tidak kira pekerjaan apa, asalkan ianya menggunakan dan memerlukan fokus seorang manusia, ianya akan memenatkan. Di mana lagi untuk seorang Ayah tidur? Pastinya di tempat paling selesa buat dirinya, iaitu di rumah.

Jadi, janganlah memandang ringan dan memperlekehkan masa tidur seorang Ayah. Ayah ni hanya akan tidur semasa betul-betul penat sahaja. Nyawa jaganya pasti akan diberikan kepada keluarganya jika Ayah tidak mengantuk.


5. Duit Ayah bukan lagi untuknya.
- Bila kali terakhir ayah beli pakaian untuk dirinya sendiri? Seluar jeans yang dipakainya mungkin berusia lebih 3 tahun. Baju-bajunya membuatkan Ayah termenung apa lagi yang dia boleh pakai untuk tidak terlalu nampak memakai pakaian yang sama sahaja.

Kalau perasan seorang lelaki atau Ayah yang sentiasa pakai pakaian yang sama sahaja, itu sebenarnya contoh ayah yang sedang berkorban buat keluarganya. Jangan tegur, dia malu sangat. Bukan Ayah tak nak beli, nak sangat. Tapi lebih baik beli lampin anak, lebih baik kumpul untuk duit belanja sekolah atau beli barang dapur.

6. Masa tidak cukup 24 jam dalam sehari.
- Ayah perlukan lebih masa. Banyak sangat yang Ayah nak buat untuk anak isteri. Selalu tak cukup masa, selalu rasa masa tidak dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Benda lain boleh tunggu, anak bini aku dulu yang utama.

Masa tidak lagi ditentukannya sendiri, kerapkali keluarga yang menentukan masa Ayah, di mana dia perlu berada dan pada waktu bila.


7. Ayah ialah seorang Superman.
- Ayah orang yang paling kuat. Ayahlah yang paling tabah. Ayah orang terakhir yang akan panik. Ayah gagah di mata anak dan isteri.

Pada hakikatnya, Ayah sangat takut. Ayah sentiasa tidak yakin dan Ayahlah yang cepat menggelabah. Ayah sentiasa takutkan keselamatan keluarganya. Di belakang muka ganas dan gagah itu adalah seorang anak kecil yang ketakutan.

Namun, Ayah sentiasa jadi lebih kuat dan yakin walaupun berkali-kali Ayah tunduk kepenatan, menyerah kalah kepada kegagalan dan kekecewaan.


Tetapi satu kelebihan Ayah ialah menyorok segala kesengsaraan ini dari pandangan keluarga. Biar ayah risau sendiri duit cukup ke tidak bulan ni, biar ayah pening kepala nak rancang masa depan keluarga. Ayah boleh lakukannya demi keluarga. Itu yang Ayah ulang hari-hari di dalam kotak mindanya.

8. Ayah sangat berahsia.
- Seorang lelaki sukar untuk berkongsi apa-apa. Seorang Ayah lebih teruk. Kalau boleh, biarlah semua orang tak tahu.

Ayah penat? Ayat kecewa dengan kerja? Ayah takut duit tak cukup? Ayah risau esok takde makanan untuk anak isteri? Ayah tertekan satu-satu perkara? Semuanya ditinggalkan di depan pintu rumah. Bila pulang, semua masalah itu dibungkus dan diletakkan di luar rumah untuk dipikul semula apabila Ayah keluar kerja esok pagi.

Jangan tanya kenapa tak semua yang dikongsi. Itu lumrah seorang Ayah. Dia tidak suka ahli keluarganya merasaki kesakitan yang telah atau sedang dia rasai.


9. Ayah seorang guru.
- Tanyalah apa pun, Ayah akan cuba mengajar dan menjawabnya. Susah atau senang, Ayah akan cari jalan supaya anak faham apa yang sedang dia cuba fahami itu. Jarang sekali ayah akan lepas tangan dan biarkan anaknya tertanya-tanya. Jawapan akan sentiasa ada, cuma kadang-kala memerlukan masa untuk mencarinya.

10. Ayah faham akan semua keperluan.
- Selagi daya, Ayah akan memberi. Jangan sekali-kali berfikiran yang Ayah tidak faham kehendak kita. Dia sangat faham, cuma dia tak mampu je buat masa tu. Sabarlah jika anda memerlukan sesuatu. Masanya akan tiba bila dia mampu untuk realisasikan apa yang anak dan isterinya perlukan.

11. Ayah tak dahagakan pujian, hanya kepuasan.
- Ayah boleh hidup tanpa ucapan terima kasih. Kerana dia sudah puas apabila dia berjaya buat sesuatu untuk keluarganya. Itu terima kasih untuknya walaupun tidak diucapkan.

Setiap keperluan itu adalah misi. Suatu misi yang berjaya adalah kepuasan. Kepuasan inilah menjadi pembakar semangat untuk Ayah terus menjadi seorang Ayah.
_________________________

Itulah serba sedikit pelayaran jiwa seorang Ayah. Semoga anak dan isteri lebih faham apa yang Ayah lalui. Bukan mereka sahaja, orang di sekeliling juga perlu tahu supaya tiada pandangan-pandangan sinis kepada mereka yang mengutamakan keluarganya dahulu sebelum diri Ayah sendiri.

Semoga kita semua lebih menyayangi Ayah kita. Ucaplah terima kasih di atas segala-galanya yang kita nampak dan sedar, atau yang diselindungkan dari kita. Segala nikmat yang kita nikmati sekarang, hampir kesemuanya diusahakan Ayah kita. Jika ada di antara Ayah yang gagal, jika ada di antara Ayah yang tidak menjadi seperti yang sepatutnya, janganlah menghukum semua Ayah. Kerana walaupun Ayah itu selalunya sama, tetapi Ayah juga manusia. Ada yang baik dan tidak baik.


Terimalah Ayah seadanya, peluklah dia selalu sebelum kita kehilangannya. Kelembutan, kasih sayang anda semua mengisi kekuatan dirinya untuk dicurahkan segala daya kepada keluarganya semula.

Selamat Hari Ayah. Semoga Ayah lebih difahami dan tidak lagi ditolak tepi.

Kongsikan penulisan ini, demi Ayah kita.

Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

1 comments:

comments
Anonymous
February 7, 2022 at 12:54 PM delete

How to make money from sports betting and casinos
How หาเงินออนไลน์ to Make Money from Sports Betting and Casinos in New Jersey

Reply
avatar