Punca Pasangan Semakin Tawar Hati dan Cara Memperbaikinya


Punca Pasangan Semakin Tawar Hati dan Cara Memperbaikinya.

Pernah tak ternampak pasangan yang sudah tua  di restoran, di taman atau di mana-mana sahaja, nampak sangat romantik dan saling sayang-menyayangi.

Mereka sering berpegangan tangan, berkepit seperti orang muda dan bergelak ketawa. Kadang-kala tangan suami di pinggang, tangan isteri pula memeluk lengan suami, yang suami suapkan makanan untuk isteri, yang isteri suapkan makanan buat suaminya, secara spontan si suami nampak mencium atas kepala isterinya dan isterinya jelas menunjukkan riak wajah kebahagiaan.

Kita yang menyaksikan insiden itu tersenyum sendirian. Di dalam minda kita tercetus keinginan untuk merasai nikmat kebahagiaan seperti itu nanti.


Tapi, kenapa baru beberapa tahun berkahwin, ramai yang sudah tawar hati dengan pasangannya? Orang di hadapannya tidak lagi menarik dan tidak lagi mencetuskan kecintaan di dalam hati.

Sentuhan tidak lagi meremangkan bulu roma dan mengakibatkan renjatan elektrik manja. Perkataan istimewa itu telah bertukar menjadi biasa. Perkataan bahagia itu lama kelamaan makin dipertikaikan oleh diri sendiri.

Bahagiakah aku? Kenapa aku rasa terlalu biasa? Kenapa tidak seperti dulu? Adakah aku sudah tidak mencintai dia?

Sedang asyik mengelamun, kita dilempang dengan realiti. Anak sudah berderet, rumah dan kereta sama-sama tanggung hutangnya. Setiap bulan pasti ada masalah yang timbul.


Kenapa perkara ini terjadi? Kerana semakin lama perkahwinan itu kehilangan manisnya? Ini antara sebab-sebabnya.

1. Curang.
- Ini adalah perkara paling utama yang menyebabkan pasangan tawar hati. Sesungguhnya pengalaman dicurangi sangat tidak boleh diubati. Tidak kira lah berapa kali. Sedangkan yang pertama kali itu sendiri sudah amat menyakitkan, inikan pula yang kedua, ketiga dan seterusnya. Jika anda pernah curang, tidak kira anda suami atau isteri, andalah punca pasangan anda tawar hati. Jangan buat tak tahu pula.

2. Melebihkan orang luar berbanding pasangan.
- Sama ada ibu-bapa atau adik-beradik sendiri. Apabila sudah berkahwin, tiada orang lain yang lebih faham apa yang kita lalui melainkan pasangan hidup kita. Jadi, apabila pasangan anda sudah menjadi orang yang tidak penting di dalam membuat keputusan keluarga, pastinya mereka semakin hari semakin tawar hati dengan anda.

3. Tidur berasingan.
- Amalan tidur berasingan ini amat merosakkan. Alasan biasa ialah anak ganggu, tertidur di sofa kerana melayan tv, isteri tidur dahulu kerana suami bermain game atau tidak langsung rasa keperluan untuk tidur bersama. Pasangan yang belum berkahwin bersungguh-sungguh menyorok sana sini, sewa hotel dan sebagainya untuk tidur sekali secara haram, tetapi pelik pasangan yang berkahwin tidak mahu kenikmatan tidur bersama pasangan.

4. Tidur bersama tetapi jiwa tiada.
- Hanya beberapa inci sahaja yang menjarakkan antara suami dan isteri, tetapi pada hakikatnya, pasangan ini sangat jauh kedudukannya. Seorang di dunia Facebook, seorang lagi di Instagram. Kedua-duanya melihat kegembiraan keluarga lain tanpa berusaha untuk memperbaiki keluarga sendiri. Ada yang langsung tidak mempedulikan pasangan di sebelah sehingga memakai earphone supaya tidak membuat bising dan dunia sementara itu tidak diganggu.


5. Pasangan makin kurang memandang muka dan mata.
- Nampak seperti tidak penting, tetapi pandangan mata ini sangat memberi erti. Apabila seseorang bercakap atau mendengar orang lain bercakap, adalah amat penting kita ada "eye contact" yang menunjukkan adanya hubungan kuat pada masa itu. Apabila pandangan ini telah tiada, ini bermakna yang mendengar tidak lagi fokus manakala yang bercakap akan terasa tidak berguna atau tidak penting. Dari sini datangnya perasaan tawar hati itu.

6. Tiada lagi sentuhan secara rawak.
- Sesuatu keadaan atau benda, apabila ianya sentiasa sama, pastikan akan menjadi suatu yang bosan dan berulang-ulang. Sentuhan rawak ini penting kerana ia bagaikan memberi sentuhan baru di dalam rutin kehidupan yang sama. Sama ada kucupan secara tiba-tiba, pelukan tanpa dirancang atau usapan yang tdak dipaksa. Semua ini umpama memberi nafas baru di dalam kehidupan berumah tangga.

7. Terima kasih yang sudah luput tarikh.
- Kita sering berbicara mengenai tanggungjawab suami dan isteri, tetapi pernah tak kita bincangkan mengenai kepentingan berterima kasih kerana menunaikan tanggungjawab itu? Walaupun ianya satu tanggungjawab yang perlu dilakukan, daya usaha itu perlu diperakui dan dipuji.

"Terima kasih sayang kerana susah payah kerja untuk cari rezeki sayang dan anak-anak". "Terima kasih sayang kerana basuhkan baju abang". "Terima kasih sayang kerana bantu abang bayarkan duit pengasuh setiap bulan". "Terima kasih sayang kerana sanggup berkorban keinginan abang demi kami".

Mudah, tetapi susah. Apabila tiada lagi perakuan sebegini, kasih sayang itu semakin lama semakin terhakis.


8. Tiada lagi komunikasi dua hala.
- Semuanya saya, saya, saya apabila yang sepatutnya ialah kami, kami dan kami. Pandangan pasangan tidak lagi diendahkan. Semua perkara yang ingin dilakukan tidak lagi dibawa berbincang. Yang suami tidak peduli, yang isteri tidak mengendahkan. Apabila tidak lagi bercakap dengan bahasa yang sama, perasaan sayang itu semakin pudar warnanya. Akibatnya, akan lebih pergaduhan dari perbincangan.

9. Hubungan kelamin tidak lagi menjadi kebiasaan.
- Antara kenikmatan alam perkahwinan ialah tiada lagi tembok pemisah antara seorang lelaki dan seorang wanita. Kedua-duanya bebas meluahkan kecintaan secara fizikal antara satu sama lain. Ianya halal dan amat disarankan. Namun, apabila ianya menjadi semakin kurang, ikatan kuat yang mengikat suami dan isteri bakal putus pada bila-bila masa sahaja.

10. Tiada lagi layanan mesra.
- Balik kerja tidak disambut, makan suami tidak terjaga, isteri jarang memasak, keperluan isteri tidak dipandang suami, masa rehat isteri tidak menjadi kepentingan, keadaan rumah yang tidak terurus hasil dari tiada kerjasama dan hanya fokus pada anak-anak sahaja. Semua perkara ini umpama kanser yang merebak secara perlahan.

11. Tidak lagi menjaga penampilan diri.
- Perkahwinan sepatutnya tidak menjadi sebab untuk tidak lagi menjaga penampilan diri. Dahulu sebelum berkahwin, si suami sangat segak umpama pelakon terkenal dan si isteri bersiap cantik bak bidadari apabila bertemu. Namun, setelah berkahwin, semuanya hilang. Bagaimana perasaan itu boleh kekal sama? Sudah semestinya akan berbeza.

12. Tidak ingat tarikh-tarikh penting.
- Bukan perlu ingat tarikh, hari, masa, saat kali pertama bertemu pun. Cukup sekadar mengingati tarikh ulangtahun perkahwinan dan hari lahir. Ramai yang sudah tidak mempedulikan lagi tarikh ini. Sebenarnya tarikh ini amat penting untuk kembali menyegarkan semula bibit-bibit cinta.
____________________



Kembalikan rasa cinta di dalam hati, ambil iktibar dari perkara di atas. Jika ada situasi di atas berlaku di dalam keluarga anda, berubahlah ke arah yang lebih baik. Rawat ia sebelum terlambat. Jika suatu hari nanti hati itu sudah tiada, buatlah apa pun, ianya menjadi tidak berguna lagi.

Ini antara cara untuk detikkan kembali rasa cinta itu :

1. Pergi bercuti.
- Bercuti adalah satu aktiviti yang sangat penting sebenarnya. Cuma ianya perlukan kos. Jadi, rancanglah dan kumpul duit sedikit-sedikit untuk tujuan itu. Beritahu kepada pasangan mengenai niat ini supaya pasangan akan lebih bersemangat. Pastikan percutian itu tidak ada tekanan dan lebih ke arah santai. In Shaa Allah sekembalinya dari percutian itu, hubungan akan menjadi lebih erat.

2. Cuba benda yang baru.
- Jika kita sudah biasa dengan rutin harian dan kehidupan, cubalah perkara baru. Tanyalah isteri atau suami, apa yang sudah lama diingininya tetapi tertahan kerana tiada maklumbalas positif.

Sebagai contoh, si isteri suka berjalan di IKEA. Jika sebelum ini anda menolak kerana malas, ubahlah, layankan permintaan isteri itu. Kadang-kala bukan mereka nak beli apa pun, cuma nak merasakan kenikmatan berangan dan khayalan rumah idaman mereka.

Atau, si suami suka sedikit kenakalan di bilik tidur, apa salahnya layan. Mungkin suami ada hasrat mahu isterinya memakai jenis pakaian yang disukainya, pakaikan je. Bukannya susah pun. Keseronokan itu akan sama dirasai.


3. Utamakan masa dengan keluarga berbanding orang lain.
- Keluarga dahulu, baru orang luar. Tanamkan dalam minda. Ingat, apabila kita tua nanti, apabila kita sakit nanti, bukan kawan-kawan yang akan jaga kita, tapi pasangan kita sendiri. Apabila pasangan semakin sedar yang dia kembali penting di dalam hidup pasangannya, rasa cinta itu dengan sendirinya akan berputik kembali.

4. Mula pegang tangan pasangan apabila berjalan atau sedang berehat di rumah.
- Sentuhan ini sangatlah penting. Ia bakal mengalirkan perasaan cinta tanpa perlu sebutan dan pandangan. Gunakanlah ianya sebaik mungkin.

5. Sambutlah pasangan anda apabila mereka pulang.
- Segala kepentan, keletihan bakal pupus sebaik disambut dengan mesra tatkala pulang ke rumah. Apabila kepulangan itu dimulakan dengan positif, pastinya keadaan selepas itu akan jadi lebih baik.

6. Berhenti membebel di atas perkara yang kecil.
- Jika ianya kecil dan boleh diselesaikan sendiri, lepaskanlah. Janganlah bising dan membebel kepada pasangan dan membuatkan ianya menjadi besar. Sangat memenatkan sebenarnya membebel dan mendengar bebelan di atas benda yang sangat kecil. Cukup sekadar memaklumkan sahaja. Banyak beza antara memberitahu dan membebel. Satu dibuat dengan tenang dan ringkas. Satu lagi dibuat dalam keadaan tegang dan terlalu lama.


7. Kembali berhias untuk suami, kembali menjadi segak buat isteri.
- Tidak kira di luar atau di rumah, jagalah penampilan. Jika selama ini selepas mandi anda tak sikat rambut pun, biarkan je mengerbang macam Mak Limah, ubahlah. Jika selama ini anda pakai t shirt buruk je setiap kali keluar dengan isteri, cuba ubah dan pakai yang segak-segak untuk si dia. Saya jamin dia akan tersenyum manis.

8. Buat aktiviti bersama di rumah.
- Sama ada memasak, menghias rumah atau melayan drama, filem dan rancangan tv. Buatlah bersama supaya ada sesuatu yang menggembirakan. Ia bakal meningkatkan perasaan sayang dan membina komunikasi yang baik.

9. Beri ME TIME untuk pasangan.
- Suami atau isteri perlukan ME TIME sekali sekala. Sama ada suami berjumpa rakan, berkonvoi atau isteri ke salon, spa atau berjalan dengan adik-beradik, rakan atau ipar wanita. Tak perlu selalu pun, sekali-sekala pun sudah cukup. Apabila seorang pergi, seorang lagi ambil alih tugas. Ini bakal memberi manfaat lain seperti membuatkan suami atau isteri lebih memahami tanggungjawab pasangannya.

10. Lebihkan ciuman dan pelukan.
- Janganlah tetapkan dalam minda ciuman dan pelukan itu hanya untuk seks sahaja. Ianya merangkumi lebih dari itu. Cuba mula tetapkan dalam minda yang ciuman dan pelukan itu adalah cinta dan kecintaan. Ciuman mesra bakal mendetikkan rasa sayang, pelukan pula menambah rasa cinta dan ketenangan. Amalkan selalu, perbanyakkannya. Saya jamin keluarga anda akan lebih bahagia.

11. Mula mendengar.
- Lelaki sering ada masalah fokus mendengar, wanita pula ada masalah pendengaran dikaburi dengan percakapan dari mulut sendiri. Lebihkan mendengar dan ingat apa yang didengari. Cuba dengan apa sebenarnya yang ingin disampaikan. Jika ada kemampuan dan keperluan, buatlah. Pasti anda akan lebih dihargai.
____________________


Semoga dengan perkongsian ini lebih ramai pasangan membuka mata dan menerima hakikat yang perhubungan mereka di dalam bahaya. Tetapi, janganlah kecewa. Masih ada masa untuk orang yang telah sedar. Buatlah bahagian kita dengan sebaiknya.

Kongsikan penulisan ini untuk manfaat pasangan anda dan orang disekeliling anda.
Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

Comments

Popular Posts