Tanggungjawab dahulu baru hak.
Ada orang tidak laksanakan tanggungjawab tetapi sentiasa menuntut hak.
Ada orang pula, sudah laksanakan tanggungjawab tapi tidak tahu haknya, jadi dia dizalimi.
Antara tanggungjawab seorang suami :-
1. Adil
▶️ Berlaku adil dengan isteri. Perlu seimbangkan kepentingan isteri berbanding orang lain atau perkara lain. Sebagai contoh, antara isteri dan keluarga, antara isteri dan kawan-kawan dan yang selalu diperdebatkan ialah antara isteri dan ibu-bapa.
▶️ Adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bukan bermaksud sama rata. Ada yang perlu ditekankan, ada yang perlu diringankan. Jadilah suami, anak dan sahabat yang bijak mengimbang keperluan dan kepentingkan mereka.
2. Memimpin
▶️ Sudah tentunya memimpin isteri ke jalan yang benar. Menunjukkan jalan, memegang tangan dan jika boleh, mendukung isteri untuk berbuat kebaikan dan bukannya kemungkaran.
▶️ Jangan pulak memimpin isteri membuat perkara yang tidak baik. Sama ada mengajar perkara yang jahat atau tidak menegur perkara jahat yang dilakukan isteri seperti menipu dalam jual beli barang dalam talian dan tidak tidak amanah di dalam permainan kutu selepas gilirannya selesai. Suami kena ambil tahu perkara sebegini kerana tempiasnya nanti akan kena pada suami sendiri.
3. Memberi Nafkah
▶️ Nafkah zahir iaitu keperluan isteri dan anak-anak adalah tanggungjawab suami. Dari makannya, pakaiannya dan tempat tinggalnya. Jika anak isteri tidak cukup makan? Itu salah suami. Jika pakaian anak dan isteri tidak mencukupi, itu tanggungjawab suami. Dan jika sesebuah keluarga tidak mempunyai tempat tinggal yang sempurna, suamilah yang perlu lebih berusaha untuk menyediakannya.
▶️ Nafkah batin, sentiasa orang ambil yang mana menguntungkan mereka sahaja iaitu seks. Padahal, nafkah batin ini sangat luas. Dari layanan, penjagaan emosi dan rohani serta kepuasan isteri. Ingat, nafkah batin itu untuk isteri, bukannya suami. Isteri yang perlu diutamakan. Janganlah mementingkan diri. Perlu tahu adakah ianya cukup atau tidak. Jika belum, perlu jalankan tanggungjawab supaya cukup. Harap faham maksud ayat ini.
4. Memberi Pendidikan
▶️ Ini sering disalahertikan. Tanggungjawab memberi pendidikan bukan terletak hanya di bahu cikgu sahaja. Segalanya bermula dari rumah. Pendidikan Islam, pendidikan asas kehidupan, cara percakapan, adab pergaulan, yang mana baik, yang mana tidak, semuanya perlu datang dari seorang suami dan bapa.
▶️ Kalau seorang isteri itu lantang berkata-kata yang tidak baik, memaki hamun, mencarut sana-sini apabila berbicara, percayalah yang tiadanya didikan yang sempurna di rumah. Tidak kiralah isteri itu umurnya berapa, jika dia tidak dididik, pasti ada yang mempunyai mulut sebegini.
▶️ Sama juga dengan anak. Kadang-kala kita mengucap panjang mendengar kanak-kanak kecil bercakap kasar, memaki dan mencarut sesama kawan. Itu semua hasil dari tiadanya orang yang mencegah dan mengajar dia di rumah.
5. Menjadi Pelindung
▶️ Suami wajib menjadi pelindung kepada isteri dan anak-anak. Sama ada dari segi fizikal iaitu keselamatan di rumah sehinggalah menjadi pelindung dari anasir-anasir jahat yang sentiasa cuba mempengaruhi diri manusia. Jika nampak perubahan dari isteri dan anak-anak, perlulah ambil tahu dan cegah seberapa pantas yang mungkin untuk mengelakkan dari mereka terjebak ke perkara yang tidak baik.
▶️ Menjadi pelindung juga termasuklah menjaga aib anak dan isteri. Jangan memalukan mereka dan jangan pula membiarkan mereka dimalukan. Jika isteri sering dikutuk cerca oleh orang, menjadi kewajipan suami membela nasib isteri. Janganlah dibiarkan isteri menerima cercaan orang lain sendirian. Berdirilah teguh di hadapan isteri dan memberi kekuatan serta tenaga buatnya.
6. Melayan Isteri Dengan Baik
▶️ Semua orang rasa mereka tahu bab ini. Semua orang rasa, "aku sudah melayan isteri aku dengan baik, nak apa lagi?" Sedangkan realitinya, ramai suami yang masih tidak melayan dan menggauli isteri dengan baik. Masih ramai yang bersikap kasar, tidak berlembut, tegas tidak bertempat, terlalu mengongkong isteri sehingga kelemasan dan tidak mempedulikan perasaan isteri.
▶️ Mula bertanya, apa yang isteri mahukan. Apa yang boleh suami tambah untuk meringankan bebannya. Apa yang boleh diperbaiki. Apa yang disukai dan tidak disukainya dan macam-macam lagi soalan rohani. Cara bertanya perlulah selembut yang mungkin kerana jika caranya salah, besar kemungkinan, suami tidak akan dapat menembusi lapisan hati isteri.
Bagaimana pula dengan isteri?
Antara tanggungjawab seorang isteri :-
1. Taat
➡️ Selagi tidak mendatangkan kemungkaran dan memudharatkan, taat dan setialah kepada suami. Kadang-kala ada perkara yang tidak baik dilakukan suami terhadap isteri, perlulah isteri tahu membezakan antara taat dan diperhambakan. Jangan menjadi beg untuk diumbuk tendang suami kerana itu adalah maksud taat yang salah.
2. Menjaga aib suami.
➡️ Jangan sekali-kali memalukan suami dihadapan orang lain. Perlu sentiasa memberi gambaran terbaik buat suami supaya tiada prasangka buruk terhadapnya yang bakal memalukan suami. Kadang-kala isteri terlupa apabila berada di kalangan keluarga sendiri dan berseloroh mengenai kekurangan atau perangai suaminya di hadapan adik-beradik. Nampak biasa, tetapi itu seperti membuka aib suaminya sendiri.
3. Menyediakan kelengkapan suami.
➡️ Apabila suami telah menyediakan keperluan isteri, isteri juga perlu sediakan segala keperluan suami, dari segi pakaiannya, makan minumnya dan suasana rumah yang selesa. Pakaian suami yang kemas melambangkan isteri yang menjaga pemakaian suami. Suami yang mengutamakan makan di rumah, melambangkan isteri yang menjaga makan minum suaminya. Dan apabila suami lebih suka menghabiskan masa di rumah, ini menunjukkan suasana rumah yang aman damai dan selesa.
4. Menjadi pelembut hati suami.
➡️ Jika suami bertanggungjawab memimpin dan mendidik isteri, isteri pula harus menjadi pemeriksanya. Kadang-kala suami terleka dan terlupa, isterilah yang perlu mengingatkan. Apabila suami sedang marah, isteri harus menjadi penenangnya. Apabila ia gusar, jadilah pelembut hatinya. Pelukan lembut isteri amat diperlukan apabila seorang suami di dalam kesusahan mental dan fizikal.
➡️ Satu tip penting yang boleh dicuba isteri. Ambil kepala suami, letakkan di atas peha. Usaplah kepalanya, mainkan jari-jemari di rambutnya. Ucaplah kata-kata cinta. Saya pasti suami anda akan menghargai ketenangan itu. Jika suami anda tidak suka layanan ini, pasti ada yang tidak kena.
5. Menjadi penyeri suami
➡️ Lumrah seorang wanita itu cantik. Sama ada semasa berada di luar atau di rumah. Apabila di luar, isteri menjadi penyeri keluarga. Jika isteri itu tidak terurus dan selekeh, ia memberi persepsi tidak baik terhadap suami. Bakal menunjukkan yang suaminya tidak menjaga isteri. Jadi, jagalah aib suami sebelum dia dimalukan.
➡️ Kecantikan isteri di rumah. Ini perkara yang semakin lama semakin hilang dari keluarga. Tiada masa, penat dan tidak berminat sering menjadi alasan utama kenapa isteri tidak menunjukkan penampilan yang baik di rumah. Ini perlu diubah. Tangkap kembali mata suami anda, mulalah menjaga penampilan diri di rumah. Saya tidak maksudkan perlu bersolek setiap kali sebelum suami pulang. Cukuplah sekadar berbau wangi, rambut yang kemas dan badan yang bersih. Ini tidak, rambut sudahlah seperti hantu Kak Limah, badan bau tengik, gigi pun tak bergosok. Lepas tu boleh pelik kenapa suami tak nak peluk cium isteri?
6. Menyediakan suasana rumah yang baik.
➡️ Rumahku Syurgaku? Percayalah kepada ungkapan ini. Semuanya bermula di rumah. Saat kaki suami melangkah masuk ke dalam rumah, iringi dia dengan kemesraan dan ketenangan. Jangan biarkan dia mencari ketenangan di luar. Ketenangan dan keceriaan itu perlu sinonim dengan rumah. Jika di rumah tegang, masuk je rumah terus dihambur dengan bebelan dan keadaan rumah yang tidak terurus, pasti lama kelamaan, suami akan tidak memandang rumah sebagai satu tempat yang baik. Dari situ akan bermulanya titik hitam dalam perhubungan.
Jika semua tanggungjawab ini sudah terlaksana, barulah kita boleh bercerita mengenai hak suami dan isteri pula di dalam penulisan akan datang.
Percayalah yang semuanya perlukan toleransi dan kerjasama. Saling lengkap-melengkapi dan faham-memahami. Perbaikilah diri dan buat bahagian sendiri sebaik mungkin. Semoga ianya akan dibalas dengan seribu kebaikan juga hendaknya.
Sila kongsikan penulisan ini untuk panduan semua. Semoga ramai yang dapat manfaat dari perkongsian ini.
Jemput follow saya di Facebook 👉
Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.
Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.
Klik ➡️
BroOhsem Fans ⬅️
BroOhsem