Bermulanya Keretakan Sebuah Keluarga - Ketahui Tanda-Tandanya


Tawar hati, bosan, boring, tiada lagi minat dengan pasangan. Ini perkataan yang menggambarkan pra permulaan kepada keruntuhan rumah tangga.

Sedarlah saat-saat perhubungan anda menjadi semakin hambar dan keluarga mulai retak.

1. Tiada idea untuk berbual.
- Anda dan pasangan tidak tahu apa yang ingin dibualkan. Keadaan di rumah sentiasa menjadi senyap sunyi jika tidak bergaduh.

2. Dia tidak lagi tersenyum dengan gurauan dan tidak lagi bergurau dengan anda.
- Jika dahulunya lawak hambar kita menjadi bahan ketawa pasangan, tetapi kini sudah tidak lagi. Yang kelakar bagi kita, bosan bagi dia.


3. Lebih selesa bercakap dengan kawan dari pasangan.
- Anda atau pasangan lebih selesa berbual dan bercerita dengan rakan taulan atau orang lain yang terdekat berbanding pasangan sendiri.

4. Mengelak untuk bersentuhan bermesra.
- Ingat tak dahulu sentuhan tangan tu memberi renjatan elektrik atau satu kelembutan, ketenangan dan cinta? Namun, sentuhan sekarang tidak memberi erti langsung.

5. Dia tidak lagi mengadu.
- Anda menjadi tempat pasangan mengadu tentang masalahnya dahulu. Tetapi dia sudah tidak lagi mengadu, seperti tiada masalah langsung.

6. Dia tidak lagi mahu mendengar alasan dan sebab.
- Apabila sesuatu kesilapan dilakukan, anda akan tetap salah tanpa ada peluang untuk menerangkan atau membela diri.


7. Tiada rasa hormat.
- Dahulunya lembut, sekarang menengking. Dahulunya berlembut, sekarang kasar. Dahulunya memahami, sekarang sentiasa tidak faham.

8. Tiada kegembiraan di riak wajahnya.
- Tiada kegembiraan, keceriaan dan senyuman manis. Pasangan sentiasa lesu, suram dan muram seperti mayat hidup.

9. Selalu mudah marah dan mencari sebab untuk bergaduh.
- Anda atau pasangan terlalu mudah untuk memarahi dan sentiasa ada sebab yang menjadikan anda atau pasangan bergaduh dan marah.

10. Dia mula mengkritik anda.
- Kenapa abang makin gemuk? Kenapa sayang dah tak cantik? Dua soalan ini atau yang seangkatan dengannya sepatutnya tidak langsung keluar dari mulut pasangan. Sepatutnya jika ada kekurangan, cadangkan penyelesaian dan bukannya mengutuk serta mengkritik. Tetapi sekarang kritikan itu menjadi perkara biasa.


11. Topik perbualan hanya berkisar mengenai kerja dan anak.
- Anak, kerja, anak, kerja. Tiada lagi mengenai perasaan dan masa depan.

12. Mempertikaikan sumbangan pasangan terhadap keluarga.
- Mula mengungkit. Itu tak cukup buat, ini tak cukup buat. Yang isteri tak reti uruskan rumah katanya. Yang suami tak cukup sediakan keperluan rungutnya.

13. Keadaan seperti ada tetapi tiada.
- Balik kerja, tiada apa. Semua buat hal masing-masing. Makan pun tak sekali. Tiada masa bersama.

14. Sering membanding-bandingkan.
- Sentiasa membanding-bandingkan kebahagiaan orang lain, kelebihan orang lain berbanding kehidupan sendiri.

15. Selalu membayangkan kehidupan tanpa pasangan.
- Apabila anda mula berfantasi dan mengatur di dalam kepala bagaimana hidup tanpa pasangan.

16. Terlalu selalu bergaduh sehingga tidak bergaduh lagi.
- Tidak peduli dah. Tiada pergaduhan dah. Lantak la nak jadi apa.

17. Mula menunjukkan minat kepada orang lain.
- Anda atau pasangan mula tunjuk minat kepada orang lain. Sentiasa rasa bagaimana hidup dengan orang lain, sentiasa rasa alangkah seronoknya jika bersama orang lain selain yang ada sekarang.

18. Dia hilang minat untuk bersama.
- Hubungan seks semakin tiada dan rasa tiada keperluan lagi. Semuanya tawar, tidak menarik, hambar, bosan, tidak mengasyikkan.

19. Lebih suka menghabiskan masa TANPA pasangan.
- Mula sertai aktiviti lain atau aktiviti luar. Rombongan, konvoi, kursus sana sini tanpa pasangan. Sentiasa mencari alasan untuk tidak menghabiskan masa di rumah bersama pasangan.



20. Pasangan tidak lagi menjadi keutamaan.
- Keperluan dan kehendak pasangan sudah tidak menjadi perkara yang penting. Anda atau pasangan sudah tidak penting dalam hidup lagi.

Jika anda ada banyak saat-saat dan tanda seperti ini, buatlah sesuatu dengan cepat. Perbaikilah keluarga anda dengan cepat kerana ianya hampir musnah. Perpisahan hanya tinggal sejengkal sahaja lagi.

Jika anda masih sayangkan keluarga anda, selamatkan ia. Jika anda tidak mahu anak-anak anda membesar dengan keluarga yang berpecah, selamatkanlah ia. Buatlah perubahan berdasarkan setiap tanda di atas.

Terlalu banyak kes penceraian pada masa ini. Kebanyakannya hasil dari ego, ketidakserasian, tidak faham, tidak mahu berubah, tiada kerjasama dan toleransi serta tidak matang.

Ambil ini sebagai nota perkara yang perlu dielakkan. Nescaya keluarga anda akan lebih bahagia.



Semoga dapat menyelamatkan rumah tangga yang sedang berantakan. Jangan putus asa. Buatlah bahagian kita sebaik mungkin, perbaikilah komunikasi dengan pasangan. Jangan biarkan semuanya berakhir.

Kongsikan penulisan ini supaya anda juga dapat membantu menyelamatkan keluarga lain.

Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

Selipar Buruk Suami - Lihatlah Isteri


Isteri. Lihatlah selipar suamimu. Ada sebabnya kenapa selipar ini menjadi begitu buruk dan ada sebabnya kenapa selipar ini masih dipakai sehingga kini.

Isteri. Betul, lumrah lelaki akan memakai sesuatu sehingga ianya tidak boleh dipakai lagi. Sebagai contoh, dompet, tali pinggang, seluar jeans dan kasut serta selipar. Tetapi itu semua sekadar luaran sahaja. Marilah kita selami lebih dalam sedikit hari ini.

Isteri. Selipar suamimu telah lama rosak. Buruk sangat rupanya. Berkali-kali kamu telah menegur dan mengingatkan dia supaya menukar selipar yang baru. Tetapi sering jawapannya sama sahaja. "Nantilah".

Isteri. Suamimu setiap hari keluar dengan selipar yang sama. Selipar itu amat berharga baginya. Selipar kulit memang tahan lama. Cuma, apabila suamimu pakai, ia jadi jauh lebih lama dari usia yang sepatutnya.


Isteri. Apabila seorang lelaki yang bertanggungjawab berkahwin. Keutamaan dirinya telah jauh ditolak ke belakang. Apa yang ada pada dirinya menjadi kurang penting.

Isteri. Seringkali dalam minda suami akan membayangkan dengan duit yang dibelanjakan untuk membeli selipar baru, boleh digunakan untuk membeli lampin anak, membeli pakai anak dan isteri, membeli barang dapur dan rumah serta membayar duit persekolahan anak. Bukan tidak mampu, tetapi ia menjadi suatu yang tidak perlu walaupun ianya satu keperluan.



Isteri. Selagi daya, suamimu akan memakai selipar itu. Biarlah tapak kaki sudah mengenai lantai, suamimu akan jalan dengan lebih berhati-hati supaya tidak memijak benda yang boleh melukakan.


Isteri. Suamimu seorang sahaja punca pendapatan keluarga. Setiap detik, setiap ketika dia memikirkanmu dan anak-anak. Setiap detik membayangkan bagaimanakah keadaanya jika dia tiada. Tidak sanggup memikirkannya, itulah sebab kenapa dia jarang mengeluh.

Isteri. Suamimu tidak meminta dan tidak juga mengharapkan kamu memberinya apa-apa. Cukuplah sekadar kamu terus berada di sisi di saat dia dan kamu sedang diuji. Cukup sekadar senyuman di wajah manismu.

Isteri. Jika kamu pernah nampak dia mengangkat selipar baru dan kemudiannya meletakkan semula, pada saat itulah, hanya seberapa ketika sahaja di dalam mindanya menolak keperluan dirinya jauh ke bawah.


Isteri. Perlu tahu yang dia jadi begini kerana sayang kepadamu. Dia menghargai apa yang telah kamu lakukan untuk dirinya.

Isteri. Lihatlah selipar suamimu. Jika ia pernah seburuk ini, mungkin banyak pengorbanan dia yang kamu tidak ketahui. Hargailah dia, berterima kasihlah kepadanya.

Sekadar renungan buat semua. Alhamdulillah selipar saya akhirnya telah berganti.

Bukan selalu saya berbicara mengenai suami. Harap tidak membanding-bandingkan antara suami dan isteri. Setiap orang ada bahagian masing-masing. Buatlah bahagian kita dengan baiknya, In Shaa Allah pasangan kita akan sedar dan menghargainya.

Kongsikan penulisan ini untuk manfaat semua.

Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

Hentikan Kegilaan Ini - Menunjuk Kemewahan dan Menilai Manusia Dengan Wang Ringgit


Kita di era yang teramat tenat. Apabila seluar dalam mendapat lebih 40 ribu likes dan apabila kita mula menilai orang dengan harga stroller anak.

Amat menyedihkan. Apa sudah jadi dengan masyarakat kita? Sejak bila kita jadi seteruk ini? Sejak bila kita mengangkat tinggi mentaliti yang buruk ini?

Dari dahulu saya cuba sedaya upaya untuk mengambil yang positif dari orang-orang yang menunjukkan kemewahan seperti ini. Saya tukar pandangan, saya tapis segala bentuk riak mereka untuk mendapatkan teladan dari apa yang mereka lakukan.

Tetapi semakin lama semakin kabur. Semakin saya mencuba, semakin saya dilemaskan dengan kemegahan dan nafas kuat kebanggaan mereka. Bukan saya tak ambil yang baik dan abaikan yang buruk. Saya faham manusia diciptakan berbeza-beza. Setiap manusia itu unik, ada kelebihan dan kekurangannya.


Tetapi kenapa kita mesti mengangkat mentaliti ini? Kenapa kita perlu LIKE dan menjadikannya normal serta diterima ramai? Bukan sebab iri hati. Tolong la faham. Ini bukan soal kita sebagai manusia merasakan dengki dengan kejayaan manusia lain. Ini soal pemikiran yang rosak dan merosakkan.

Hari ini kita mula menilai orang dengan stroller anak. Stroller anak ! Maafkan saya, semasa saya menaip ini hati saya menjerit sekuat-kuatnya. Stroller anak jadi pengukur kejayaan, kebahagiaan seseorang. Sedihnya.

Kenapa kita menghambakan diri dengan wang ringgit dan kekayaan? Benda tu semua tidak langsung menjamin kebahagiaan dan ketenangan hidup. Berhentilah menipu diri sendiri. Duit yang banyak tak boleh beli bahagia. Memang tak salah langsung ada duit banyak, ada harta, ada kekayaan dan kejayaan. Tetapi apabila ianya diangkat terlalu tinggi sehingga menenggelamkan maksud riak, maksud berbangga-bangga dan membanding-banding, ianya menjadi seperti kanser yang memakan hati segenap lapisan masyarakat.


Tanpa disedari, kita kini mendidik anak kita untuk menilai orang dengan duit. Generasi kita sudah semakin lumpuh, bayangkan generasi anak kecil kita nanti? Hari ini kita bandingkan rumah, bandingkan kereta, bandingkan stroller dan pakaian. Esok lusa, spender pun kita bandingkan. Eh, kita dah sampai rupanya ke tahap sampah ini. Siapa nak tunjuk bra pulak lepas ni?

Kenapa oh kenapa orang sebegini yang mempunyai peluang untuk memberi inspirasi tetapi memilih untuk berbangga-bangga? Masalah datang apabila beribu orang rasa ianya ok. Beribu orang rasa ianya hanyalah gimik. Beribu orang rasa ianya menunjukkan simbol kejayaan. Tidak, orang yang rasa begini sebenarnya telah jauh hanyut.



Ini bukanlah soal duit atau soal mampu dan tidak mampu. Ini soal budaya dan membudayakan. Ini soal bagaimana pengaruh anda mempengaruhi orang lain. Nak beli stroller harga beribu itu tiada masalah langsung. Jika mampu teruskan je. Cuma, jangan kita nilai orang melalui stroller yang digunakan. Yang mahal kita pandang tinggi, yang murah, kusam, biasa, kita pandang rendah.


Orang yang tidak merasakan salah apabila sentiasa memandang harta, pangkat, kerjaya, kekayaan dan kejayaan adalah orang yang celik tetapi hatinya telah terpejam. Hanya kebendaan di depan mata yang diserap. Tiada lagi nilai lain yang setanding.

Berhentilah menjadi hamba kekayaan. Benar, kelebihan yang kita ada itu penting, tetapi apa yang kita lakukan dengan kelebihan itu jauh lebih penting.

Harap kita sedar yang kita semakin tenat. Masyarakat kita semakin lama semakin gelap hatinya. Apakah pengakhirannya? Adakah idola kita semuanya yang kaya tanpa mengira cara?

Semoga kita sempat untuk menyelamatkan diri. Mungkin satu hari nanti kita akan hidup di dalam dunia yang adanya tanda harga di setiap benda yang kita pakai atau gunakan.

Kongsikan penulisan ini jika anda rasa ianya bermanfaat.

Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

Memahami Period Isteri



Pukul 3 pagi tadi isteri saya masih tak dapat tidur. Gelisah sangat. Pusing sana tak boleh, pusing sini tak boleh. Tandas dah 3,4 kali masuk keluar. Lama jugak duduk dalam tu. Perutnya memulas-mulas sebab period.

Pada ketika itu saya tak dapat nak membantu. Hanya sekadar cuba menenangkan dia, mengusap dan mengurut lembut perut dia yang sakit tu.

Dari dalam tandas dia whatsapp, "tidurlah dulu, I lama kat dalam ni. Tak larat dah nak keluar masuk tandas". Kesian sangat. Nak cakap kuat, takut Daisy bangun pulak, lagi susah. Lepas tu, sempat juga saya tengok dia duduk baring, duduk baring sebelum saya terlelap.

Bangun pagi esoknya, saya lihat dia sedang tidur. Daisy pulak dah bangun dan ke sana sini atas katil tu. Memang tak duduk diam. Saya pun ambil dan baring bersama Daisy di tilam tepi katil, mengasingkannya dengan mama dia.

Lampin dia dah penuh rupanya, patutlah tak selesa. Saya tukarkan lampin dia walaupun sedikit mencabar. Budak kecik ni tak duduk diam dah sekarang. Pantang bukak lampin, nak menggaru bontot je kejenya. Tak padan dengan kecik. Hehe..


Lepas tu saya baringkan dia kat sebelah. Diam juga dalam setengah jam. Lepas tu bangun balik. Mata Daisy dah cerah, memang tak nak tidur dah budak ni. Saya pun bawa dia ke luar, mamanya terjaga perasan kami nak keluar bilik. Saya suruh dia tidur semula dan tutup pintu. Semalam dia tak cukup tidur, biarlah dia rehat.

Rupanya kat luar, si Akbar dan Jasmine dah bangun. Tv pun dah buka dengan Dave & Ava tengah menyanyi-nyanyi. Daisy pun dah jumpa mainan dia, lagipun dia dah pandai duduk tanpa jatuh dan merangkak ke sana sini dengan sendiri. Senang sikit saya nak ke dapur.

Saya gorengkan wedges untuk diorang sarapan. Nampak dapur sedikit tidak terurus. Tetapi perkara pertama saya buat ialah masak nasi. Saya tak nak Jasmine pergi sekolah tanpa makan dahulu.

Selepas itu saya basuh semua pinggan mangkuk dan kuali. Tenang je tengok hasil dia lepas tu. Lega sungguh rasanya. Saya terus panaskan lauk ayam masak asam pedas yang dah dimasak semalam. Saya suapkan kedua-dua anak. Bukan diorang tak boleh makan sendiri, tapi disebabkan nak cepat, saya suapkan sediri kedua-dua mereka. Sambil-sambil tu melayan si Jasmine buat latihan Matematik dan mengemas sedikit di ruang tamu.


Selesai diorang makan, mama dia pun bangun. Saya bawakan air sejuk dalam gelas dan bagi dia minum sambil usap kepala dia. "U ok tak?" tanya saya. "Ok sikit, terima kasih" katanya.

Bila dia keluar dari bilik, saya bagitau yang anak-anak dah makan, dapur dah kemas, nasi pun dah masak. Tersenyum manis dia kegembiraan dan kami berpelukan sambil bibirnya mengucapkan terima kasih.

Selepas panaskan lauk semalam, kami pun makan berdua. Anak-anak yang dah kenyang pun tak ganggu dah dan buat hal masing-masing. Suka saya sebab dapat mudahkan urusan dia dan kurangkan kesakitan dia. Senyuman manis dari wajah dia, itu je yang saya sentiasa dambakan.

Begitulah. Ada masanya kita sebagai suami kena peka bila waktunya tiba. Memang tak semua orang sama. Ada yang period ke tak period ke, tiada beza. Tapi ada yang memang sengsara setiap bulan.


Terpulang kepada kita sebagai suami untuk memandang ini sebagai perkara yang berat atau tidak mengendahkannya dan menganggap ianya perkara biasa. Ini bukan perkara yang biasa ye. Datang bulan ini bukan suatu perkara yang biasa. Tolong tanam ayat ini dalam kepala anda. Isteri kita memang sakit jika senggugut mereka datang. Ditambah dengan karenah anak-anak dan suami sendiri, ia boleh jadi satu waktu yang memberi tekanan yang amat kuat.

Itu sebabnya kita biasa dengar isteri mengamuk semasa period. Bukan disebabkan period itu sahaja, tetapi keadaan sekeliling dan suami yang tidak membantu juga menyumbang kepada tekanan itu.

Saya pernah dimaklumkan oleh DrLinda Mat Hassin, Pakar Hormon dari Radiant Clinique betapa semasa wanita mengalami period, hormon mereka menjadi amat tidak menentu dan suami sangat perlu memainkan peranan untuk membantu isteri melalui kitaran ini.



Yang paling penting ialah berhenti merasakan ianya perkara biasa. Keduanya, bantu mudahkan urusan isteri. Jika ada 10 perkara yang dilakukan isteri, ambil semua kalau boleh. Bukan lama pun. Seminggu je atau kurang dari itu. Tolong masak ke, mengemas ke, basuh pinggan ke atau apa-apa perkara biasa yang isteri lakukan.

Selain dari jangan menyumbang kepada kesakitan dia seperti membuat isteri marah, tolong jagakan juga anak-anak kerana anak-anak pun boleh mendatangkan tekanan tambahan kepada mereka.

Akhir sekali, antara sebab kita kena buat begini adalah untuk menyediakan suasana yang baik dan positif kerana kita tak tahu betapa naik turunnya mood mereka semasa period.



Jagalah isteri kita semasa mereka sakit sebegini, Kerana apabila tibanya masa kita perlu dijaga, kita pasti akan dijaga dengan penuh kasih sayang seorang isteri. Ingatlah, apa yang kita beri hari ini,  akan dibalas suatu hari nanti. Jika baik yang kita beri, baiklah juga akan kita terima. In Shaa Allah.

Semoga tiada lagi isteri yang melalui period tanpa bantuan suami. Kongsikan penulisan ini supaya lebih ramai yang sedar akan kepentingan perkara ini.

Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

Aplikasi Telefon Pintar Yang Bahaya Untuk Kanak-Kanak


Murid Darjah 6 Rogol Budak 4 Tahun. Ibu-bapa wajib belajar teknik pemantauan ini.

Menakutkan, mengejutkan dan menyedihkan. Itu 3 perkataan yang boleh kita gambarkan apabila terjadinya perkara yang menyakitkan ini. Mencari siapa perlu dipersalahkan dan apa yang perlu dipersalahkan adalah perkara biasa dilakukan orang.

Apa kata kita kalih sedikit pandangan dan buka mata seluas-luasnya bagaimana kita boleh elakkan perkara ini dari terjadi lagi.

Dua aspek utama dalam penyelesaian sesuatu masalah adalah benda di luar kawalan dan di dalam kawalan. Di dalam kejadian ini, ramai yang menyalahkan gadjet, video, internet dan ada yang menyalahkan kerajaan kerana tidak menyekat sepenuhnya laman web pornografi dan aplikasi yang menjurus ke arah yang tidak baik.


Kebanyakan dari apa yang saya nyatakan di atas tidak boleh dikawal. Gadjet dan telefon pintar telah menjadi keperluan berbanding kehendak pada beberapa tahun yang lepas. Video yang dimuat turun dari internet atau dikongsi dari kawan juga kita tidak boleh kawal sepenuhnya dan capaian ke laman web pornografi sampai bila-bila pun kita tidak dapat sekat 100%.

Apa sebenarnya kanak-kanak yang tak dipantau ini tengok di telefon pintar mereka?

1. Gambar dan video lucah
2. Video wanita dan kanak-kanak berjoget di Tik Tok
3. Live video wanita seksi di Bigo Live
4. Berbual tanpa batasan dengan sesiapa pun tidak kira jantina.

Ini semua menjurus kepada keinginan untuk mencuba dan keseronokan yang mereka tidak cukup faham mengenai keburukannya.


Jadi, apakah kita tiada kawalan langsung? Pastinya ada tetapi memerlukan ibu-bapa sedikit celik dengan perkembangan teknologi telefon pintar dan aplikasi yang berkaitan.

Pertama sekali, kawalan dan pemantauan penggunaan telefon pintar anak. Set masa setiap hari untuk memeriksa telefon anak. Apa yang perlu kita periksa? Kita mulakan dengan aplikasi yang tidak baik dan menjurus ke arah pergaulan tidak baik dan seks.

1. Bigo Live
2. Tik Tok
3. Snapchat
4. Tinder
5. Wechat

Kesemua aplikasi ini pada mulanya dicipta untuk tujuan yang baik tetapi akhirnya digunakan untuk bersosial secara melampau dan tiada batasan. Aplikasi live, aplikasi chatting ini kebanyakannya tidak dipantau oleh pembuat aplikasi yang seronok mengaut keuntungan dari iklan dan lain-lain jualan di aplikasi tersebut.


Jika ada yang menggunakan aplikasi itu dengan cara yang baik, itu hak anda, tetapi aplikasi itu tetap tidak sesuai untuk kanak-kanak yang tidak boleh menilai mana yang baik dan mana yang buruk.

Ada dua lagi kategori aplikasi yang perlukan lebih penerangan.

1. Wajib pantau semua aplikasi LIVE yang seakan Bigo Live. Ada aplikasi seperti itu yang tiada dalam playstore atau appstore dan kebarangkalian di masukkan dari perkongsian telefon kawan dan laman web. Cari aplikasi yang ada perkataan LIVE dan buka aplikasi itu dan periksa sendiri bagaimana ia berfungsi.

2. Aplikasi vault (peti besi).
Aplikasi ini ada bermacam jenis dan nama. Fungsi utamanya adalah untuk menyorok fail dari pandangan orang lain yang menggunakan telefon itu. Contohnya folder rahsia yang di dalamnya mempunyai gambar-gambar dan video yang pemilik telefon mahu rahsiakan dari orang lain. Cari aplikasi yang mempunyai nama VAULT, SAFE, SECURE, FOLDER, SECRET, HIDE, HIDDEN, ARCHIVE, PERSONAL, PARELLEL DAN PRIVATE.

Ada juga kemudahan menyorok fail ini terbina dalam terus di dalam telefon dan tidak perlu download atau instal aplikasi untuk menggunakannya. Cari dan lihat apa yang disorokkan anak menggunakan aplikasi ini.

Samsung Secure Folder.
Huawei Private Space.
Xiaomi Second Space.
Vivo Private Space.


Akhirnya, ada satu lagi cara licik yang memerlukan anda faham bagaimana ianya berfungsi. Ia tidak memerlukan apa-apa aplikasi pun. Tetapi semua gambar dan video boleh disorok di dalam folder itu.

Buka sahaja apa-apa file manager (contohnya MY FILES untuk samsung). Cari pilihan settings untuk "Show Hidden Files".

Konsep hidden files di android mudah sahaja. Semua files dan folders yang ada NOKTAH atau TITIK di hadapan nama fail secara automatiknya dianggap sebagai "hidden file atau folder". Mereka yang licik akan hide semua gambar dan video di dalam hidden folder ini. Mereka hanya perlu cipta satu folder baru dengan apa juga nama beserta titik di hadapan nama folder itu. Hasilnya, semua fail tak kira gambar atau video di dalam folder yang disorok itu tidak akan kelihatan di gallery.

Pilih untuk show hidden files dan carilah folder yang ada titik di hadapan. Bukan semua folder sebegitu dibuat secara sengaja untuk menyorok file, ada yang dicipta oleh aplikasi di telefon sendiri untuk kegunaan lain.


Sudah sampai masanya kita perlu lebih berilmu untuk tidak ketinggalan dan dipermainkan anak-anak kita. Umur 12 tahun ini walaupun otak mereka sangat cergas dan mudah mempelajari semua benda, tetapi konsep membandingkan apa yang baik dan buruk itu masih lemah.

Tanggungjawab itu masih di tangan ibu-bapa dan jalankanlah ia dengan baik. Jika anda tidak tahu berkenaan hal yang saya sebutkan di atas, ketahuilah yang kebarangkalian anak anda terjebak dengan aktiviti sosial yang tidak baik ini adalah tinggi dan tanpa pengetahuan anda.

Hasilnya, datang keinginan untuk mencuba dan meniru serta melakukan apa yang mereka lihat. Itu yang terjadi dengan kes budak darjah 6 merogol anak kecil berumur 4 tahun baru-baru ini.


Pantaulah anak anda, kenali kawan-kawan mereka dan ajar serta didik mereka mengenai apa yang baik dan tidak baik. Terangkan kenapa, mereka perlukan sebab. Jika tiada sebab, memang susah untuk mereka faham kenapa tidak boleh melakukan itu dan ini.

Akhir sekali, didik anak kita mengenai apa yang orang lain TIDAK BOLEH LAKUKAN terhadap dirinya. Contohnya seperti menyentuh dan memegang tempat sulit. Ajar juga mereka untuk meronta atau menjerit serta mengadu mengenai perbuatan itu.


Semoga anak-anak kita dilindungi sentiasa dan dijauhkan dari kejadian-kejadian yang buruk.

Kongsikan maklumat dan info penting ini supaya ibu-bapa lebih berilmu dan peka mengenai aktiviti anak di telefon bimbit mereka.

Jika anda ada aplikasi lain yang membahayakan atau cara lain anak-anak menyorok gambar, video lucah serta aktiviti mereka, sila kongsikan di komen untuk saya tambah di dalam penulisan ini.

Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem