Kita di era yang teramat tenat. Apabila seluar dalam mendapat lebih 40 ribu likes dan apabila kita mula menilai orang dengan harga stroller anak.
Amat menyedihkan. Apa sudah jadi dengan masyarakat kita? Sejak bila kita jadi seteruk ini? Sejak bila kita mengangkat tinggi mentaliti yang buruk ini?
Dari dahulu saya cuba sedaya upaya untuk mengambil yang positif dari orang-orang yang menunjukkan kemewahan seperti ini. Saya tukar pandangan, saya tapis segala bentuk riak mereka untuk mendapatkan teladan dari apa yang mereka lakukan.
Tetapi semakin lama semakin kabur. Semakin saya mencuba, semakin saya dilemaskan dengan kemegahan dan nafas kuat kebanggaan mereka. Bukan saya tak ambil yang baik dan abaikan yang buruk. Saya faham manusia diciptakan berbeza-beza. Setiap manusia itu unik, ada kelebihan dan kekurangannya.
Tetapi kenapa kita mesti mengangkat mentaliti ini? Kenapa kita perlu LIKE dan menjadikannya normal serta diterima ramai? Bukan sebab iri hati. Tolong la faham. Ini bukan soal kita sebagai manusia merasakan dengki dengan kejayaan manusia lain. Ini soal pemikiran yang rosak dan merosakkan.
Hari ini kita mula menilai orang dengan stroller anak. Stroller anak ! Maafkan saya, semasa saya menaip ini hati saya menjerit sekuat-kuatnya. Stroller anak jadi pengukur kejayaan, kebahagiaan seseorang. Sedihnya.
Kenapa kita menghambakan diri dengan wang ringgit dan kekayaan? Benda tu semua tidak langsung menjamin kebahagiaan dan ketenangan hidup. Berhentilah menipu diri sendiri. Duit yang banyak tak boleh beli bahagia. Memang tak salah langsung ada duit banyak, ada harta, ada kekayaan dan kejayaan. Tetapi apabila ianya diangkat terlalu tinggi sehingga menenggelamkan maksud riak, maksud berbangga-bangga dan membanding-banding, ianya menjadi seperti kanser yang memakan hati segenap lapisan masyarakat.
Tanpa disedari, kita kini mendidik anak kita untuk menilai orang dengan duit. Generasi kita sudah semakin lumpuh, bayangkan generasi anak kecil kita nanti? Hari ini kita bandingkan rumah, bandingkan kereta, bandingkan stroller dan pakaian. Esok lusa, spender pun kita bandingkan. Eh, kita dah sampai rupanya ke tahap sampah ini. Siapa nak tunjuk bra pulak lepas ni?
Kenapa oh kenapa orang sebegini yang mempunyai peluang untuk memberi inspirasi tetapi memilih untuk berbangga-bangga? Masalah datang apabila beribu orang rasa ianya ok. Beribu orang rasa ianya hanyalah gimik. Beribu orang rasa ianya menunjukkan simbol kejayaan. Tidak, orang yang rasa begini sebenarnya telah jauh hanyut.
Ini bukanlah soal duit atau soal mampu dan tidak mampu. Ini soal budaya dan membudayakan. Ini soal bagaimana pengaruh anda mempengaruhi orang lain. Nak beli stroller harga beribu itu tiada masalah langsung. Jika mampu teruskan je. Cuma, jangan kita nilai orang melalui stroller yang digunakan. Yang mahal kita pandang tinggi, yang murah, kusam, biasa, kita pandang rendah.
Orang yang tidak merasakan salah apabila sentiasa memandang harta, pangkat, kerjaya, kekayaan dan kejayaan adalah orang yang celik tetapi hatinya telah terpejam. Hanya kebendaan di depan mata yang diserap. Tiada lagi nilai lain yang setanding.
Berhentilah menjadi hamba kekayaan. Benar, kelebihan yang kita ada itu penting, tetapi apa yang kita lakukan dengan kelebihan itu jauh lebih penting.
Harap kita sedar yang kita semakin tenat. Masyarakat kita semakin lama semakin gelap hatinya. Apakah pengakhirannya? Adakah idola kita semuanya yang kaya tanpa mengira cara?
Semoga kita sempat untuk menyelamatkan diri. Mungkin satu hari nanti kita akan hidup di dalam dunia yang adanya tanda harga di setiap benda yang kita pakai atau gunakan.
Kongsikan penulisan ini jika anda rasa ianya bermanfaat.
Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.
Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.
Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️
BroOhsem