Anak-Anak Mangsa Penceraian


Anak-Anak Mangsa Penceraian.

Perasan tak, sahabat kita yang ada masalah kebanyakannya datang dari keluarga yang bermasalah?

Institusi perkahwinan yang berantakan boleh menjadi salah satu punca kepada melahirkan insan yang bermasalah. Anak-anak yang bermasalah ini masih kecil. Ada juga yang sudah meningkat remaja. Mereka kecewa, mereka geram, mereka takut, mereka marah dan mereka tak faham sepenuhnya kenapa ibu dan bapa mereka bergaduh dan berpisah.

Mereka tahu satu keluarga ada 3 entiti iaitu seorang bapa, seorang ibu dan mereka sebagai anak. Apabila berlaku penceraian, mereka sukar untuk menerima apabila keluarga mereka itu kehilangan satu dari entiti itu. Bagi mereka, ianya tidak lengkap, cacat.


Macam mana anak-anak ini mengekspresi diri dan menunjukkan apa yang mereka rasa? Nak marah bagaimana lagi? Nak menangis sampai keluar air mata darah pun belum cukup puas.

Jadi, mereka akan luahkan kekecewaan dengan membuat perkara yang boleh mengambil perhatian orang. Bertindak ganas, liar, menjadi jahat dan membuat benda-benda yang tidak sepatutnya.

Dalam kes yang saya terima baru-baru ini, seorang isteri kepada duda anak dua yang terpaksa menjaga anak tirinya yang tidak lagi mahu dijaga bekas isteri suaminya. Masalah timbul apabila suaminya itu sering bekerja di luar meninggalkan Puan ini terpaksa menjaga anak tirinya seorang diri.

Yang sangat membimbangkan, anak yang berumur baru 13 tahun itu sangat bermasalah dan tdak mendengar kata. Budak itu pernah ditangkap mencuri duit Masjid dan bapanya juga terpaksa turun naik mahkamah disebabkan kes lain anaknya itu.

Adakah adil, seorang isteri terpaksa menjadi ibu segera kepada anak yang seperti ini? Saya tidak salahkan budak itu 100%. Umur 13 tahun masih belum cukup matang untuk menilai setiap kelakuan dan perbuatan.

Ibu-bapa kandung yang perlu mainkan peranan. Anda telah melenyapkan impian kegembiraan anak-anak dengan masalah anda dan pasangan, bertanggungjawablah. Saya rasa tidak adil ibu tiri yang terpaksa menanggung beban kesalahan ibu-bapa anak tirinya itu.

Kita sering dimomokkan dengan kejahatan ibu tiri kepada anak tiri. Tetapi, apa kata kita ubah sedikit pandangan kita dan mengambil kira situasi yang sedang berlaku ini. Puncanya tak lain tak bukan ialah keruntuhan institusi kekeluargaan itu.

Untuk lebih memahami apa yang anak-anak lalui selepas berlakunya penceraian, mari kita sama-sama selami jiwa mereka.

1. Kebimbangan.
- Mereka sentiasa risau. Mereka tidak lagi boleh mengagak apa yang akan berlaku esok hari.


2. Tekanan Yang Berterusan.
- Perpisahan anntara ibu dan bapa mereka sangat memberi tekanan. Mereka akan sentiasa tertekan, sering marah dan akan selalu membuat kesilapan.

3. Perasaan Yang Tidak Menentu.
- Ada hari mereka gembira, ada saat mereka berduka. Apabila bergembira, pasti kesedihan akan kunjung tiba dan membuatkan mood mereka berubah-ubah.

4. Kesedihan Yang Melampau.
- Siapa yang tidak bersedih jika terpaksa berpisah dari ibu atau bapa? Anak-anak ini sentiasa dalam kesedihan. Hati mereka sangat rapuh. Mudah bersedih di atas perkara yang bagi orang biasa ada sangat normal.

5. Perasaan Tiada Harapan.
- Harapan hidup mereka hampir kesemuanya hilang bersama hilangnya orang yang membawa mereka ke dunia. Mudah untuk kita memujuk mereka supaya positif, tetapi hakikatnya jauh panggang dari api.


6. Masalah Tingkah Laku dan Sosial.
- Ada yang mengekspresikan diri dengan masalah dan keganasan. Di sekolah mungkin selalu bergaduh, selepas sekolah mungkin mengikut mat rempit ke sana sini. Mereka dambakan perhatian yang diberikan apabila mereka buat masalah-masalah ini.

7. Mempunyai Masalah Perhubungan.
- Anak-anak yang telah melalui keluarga yang berantakan ini hampir pasti mempunyai masalah di dalam perhubungannya sendiri. Ini hasil dari perasaan susah untuk mempercayai pasangan kerana mereka sendiri telah ditipu ibu-bapa mereka.


8. Kecenderungan Kepada Penyalahgunaan Dadah.
- Melupakan masalah dengan cara yang paling singkat? Dadah selalunya menjadi pilihan. Mereka yang sentiasa bimbang, tertekan, marah dan lain-lain menjadikan dadah sebagai jalan keluar sementara.

9. Kemurungan.
- Berdiam diri, bersedih keseorangan, menyendiri dan kebarangkalian akan mencederakan diri dan membunuh diri. Ada juga yang akan membuat perkara yang tidak patut dilakukan atau yang membahayakan orang lain di sekeliling mereka.

10. Kemungkinan Mempunyai Tahap Pendidikan Yang Rendah.
- Anak-anak di dalam keluarga yang berpecah ini, jika tidak dijaga dengan baik, pasti tidak akan rasa mereka perlu maju di dalam pelajaran. Siapa yang akan berbangga dengan mereka? Ayah yang selalu ke luar negeri atau ibu kandung yang sudah tidak pedulikan mereka? Jika tiada, buat apa nak dapat A?

11. Kurang Didikan Agama.
- Jika keperluan rohani lain anak-anak pun diabaikan, apatah lagi dari segi keagamaan? Pastinya dianggap tidak penting. Hasilnya, insan yang semakin lama semakin jauh dengan agama dan akhirnya akan membentuk keluarga yang agamanya hanya di kad pengenalan sahaja.

_________________________


Itulah di serba sedikit apa yang terjadi dan apa yang dilalui anak-anak hasil penceraian. Perlu ingat yang kesannya bukan hanya apabila mereka kecil tetapi boleh berlarutan sehinggalah mereka besar dan mendirikan rumahtangga mereka sendiri.

Ada orang kata, sebelum bercerai, dah fikir masak-masak atau belum? Dah fikir pasal keluarga atau belum? Jangan terlalu cepat mencari jalan mudah. Janganlah terlalu cepat untuk melarikan diri. Fikirkan anak-anak juga. Cubalah sebaik mungkin perbaiki hubungan sesama pasangan. Anak anda, tanggungjawab anda.

Apa yang anda wajib lakukan sebagai Ibu atau Bapa kepada penceraian anda sendiri?

1. Anda sendiri perlu gembira dan memberi kegembiraan kepada anak anda. Baca list di atas dan ketahui apa yang mereka sedang lalui. Lawan semua itu dengan kegembiraan. Jangan sekali-kali biar mereka lalui perkara ini sendiri. Anda yang buat mereka jadi begini, faham?

2. Luangkan masa sebanyak mungkin dengan anak. Masa itu emas, masa itu tidak boleh diganti. Jangan cakap nanti bila anak sudah besar, anda akan ganti semula masa yang anda tinggalkan semasa mereka kecil. Masa tidak berfungsi seperti itu. Lagipun kita tak tahu ajal maut kita.

3. Terangkan mereka apa yang terjadi. Biar mereka faham. Mereka keliru. Rungkaikan kegusaran mereka. Beri cara untuk elakkan dari melakukan kesilapan yang sama yang telah anda lakukan.

4. Jangan rahsiakan penceraian daripada anak-anak. Mereka ada hak untuk tahu. Mereka ada hak untuk memilih jika sudah cukup umur. Jangan memaksa. Jangan tarik mereka di dalam masalah peribadi anda dan pasangan.



5. Selesaikan urusan mahkamah dengan cepat. Untuk bina hidup yang baru, kehidupan yang lama perlu ditinggalkan. Jangan buat proses penjagaan anak ini menjadi terlalu lama dan membuatkan mereka tidak tentu arah. Penceraian sudah pun terjadi, sila move on dan jangan jadikan masalah penjagaan anak sebagai medan membalas dendam.

6. Jangan halang anak dari jumpa dengan ibu atau bapa mereka. Itu hak mereka. Kecuali ibu atau bapa yang bermasalah dan boleh mendatangkan bahaya kepada anak-anak dan anda sendiri.

7. Berhenti menghasut anak supaya membencikan ibu atau bapanya sendiri. Jangan memfitnah, jangan menipu. Sebenci-benci anda kepada bekas pasangan, jangan mereka-reka cerita keburukannya kepada anak-anak. Ini satu penipuan yang tidak baik.

8. Jika sudah ada pengganti, JANGAN HARAP pasangan baru anda boleh faham 100% situasi anda dan anak-anak anda. JANGAN ANGGAP mereka boleh terus terjun menggantikan ibu atau bapa kandung mereka. Tidak semua orang mampu dan tidak semua boleh terima dengan cepat. Ada yang perlukan masa yang lebih lama. Yang paling penting, jangan lepas tangan. Anak anda, tanggungjawab anda.
___________________________


Semoga kita sedar dan janganlah salahkan mereka yang sedang melalui masalah yang besar ini. Berikan mereka sokongan sebaik yang mungkin dan yang paling utama, bersabarlah. Mereka telah melalui satu pengalaman yang memeritkan. Semakin kita faham keadaan mereka, semakin kita mudah untuk menerima dan membuatkan mereka percaya kembali yang dunia ini sebenarnya indah.

Kongsilah maklumat yang sangat penting ini. Pemahaman anda sangat-sangat diperlukan.

Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »