Panduan & Pantang Larang Beraya Di Rumah Orang


Dalam musim perayaan ini, sudah tentulah ramai yang akan ziarah menziarahi antara sesama saudara, adik beradik dan rakan taulan.

Tetapi, saban tahun kita sering mendengar kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku tatkala musim perayaan tiba. Ada yang tv pecah, gelas pecah, pinggan mangkuk pecah, kecurian, kehilangan barang, kehilangan duit, kerosakan harta benda seperti sofa terkoyak dipijak anak, karpet kena muntah dan berak anak serta lain-lain kejadian yang tidak diingini.

Hasilnya, amalan ziarah menziarahi yang sepatutnya mengeratkan silaturrahim bertukar menjadi sesuatu yang meninggalkan kesan yang tidak baik. Ianya diakhiri dengan situasi tegang, tuduh menuduh, memendam perasaan dan mengata antara tuan rumah dan yang datang beraya.

Marilah jadikan senarai ini sebagai panduan apabila beraya di rumah orang lain.


1. Sedarlah yang anda sedang berada di rumah orang lain dan bukannya rumah sendiri. Penting untuk tetapkan perkara ini di dalam kepada sebelum berkunjung ke rumah orang supaya kita sentiasa dalam keadaan yang bersedia dan tidak keterlaluan walaupun di rumah adik-beradik sendiri.

2. Jangan masuk ke dalam bilik tuan rumah tanpa kebenaran. Bilik tuan rumah ialah satu tempat yang paling tidak patut untuk dimasuki kerana di dalam bilik selalunya ada barang-barang sulit dan segala benda yang tuan rumah tidak mahu tetamu tahu. Kat dalam tu la ada pakaian dalam, tuala, baju kotor, barang-barang yang tak sempat dikemas, katil tempat tuan rumah beradu dan barang-barang berharga yang lain. Ini untuk mengelakkan tuan rumah malu dan kebarangkalian lain yang tidak baik.

3. Jangan buka peti ais tuan rumah macam rumah sendiri. Ini juga satu hak milik peribadi tuan rumah. Dalam tu la ada makanan, minuman, lauk pauk semalam, kelmarin dan lain-lain lagi yang tuan rumah tak nak tetamu lihat. Kadang-kala peti ais tu pun dalam keadaan yang tidak terlalu bersih, jadi bahan umpatan tetamu pula. Kan tidak elok begitu?

4. Anak-anak adalah tanggungjawab ibu-bapa. Pusing la macam mana pun, anak ramai ke, tak nampak ke, tak perasan ke, tidak boleh dijadikan alasan. Apa juga yang anak anda lakukan adalah tanggungjawab anda sebagai ibu-bapanya. Anak yang kecil tidak boleh dipersalahkan kerana mereka ada yang belum boleh berfikir dengan matang lagi, tetapi ibu-bapanya boleh. Perlu ada rasa tanggungjawab dan perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya.


5. Jika ada yang rosak atau yang pecah, jangan lari dari tanggungjawab. Ganti, bayar dan minta maaf serta pujuk tuan rumah sebaik mungkin. Yang rosak dan yang pecah itu adalah hak milik serta harta tuan rumah. Kita tidak tahu nilai barang itu bagi tuan rumah. Mungkin ianya satu kenangan yang tidak mungkin dapat dikembalikan lagi. Perlu rendah diri dan minta maaf secara bersungguh-sungguh. Kita telah ambil sesuatu dari kehidupan mereka. Tolong faham.

6. Apabila tuan rumah menegur, dengar dan jangan marah atau terasa. Selalunya tuan rumah akan lebih peka dengan barang-barangnya sendiri berbanding orang yang menziarahi. Jika tuan rumah tegur anak kita supaya jangan melompat-lompat di sofa, tak kira la sofa tu harga RM15,000 atau RM500, cegah terus anak itu. Jangan sekadar melihat je, jangan sekadar memberi alasan yang anak itu "budak, biasalah main-main". Dan yang paling penting ialah jangan sentap pulak. Orang tegur supaya tak jadi perkara yang tak elok. Jangan kita pulak sentap, siap perli tuan rumah lagi. Memang sangat menyakitkan hati perangai sebegini.

7. Jangan nak komen sangat pasal rumah orang. Deko tak kena la, warna terlalu garang la, rumah panas la, penat duduk bawah la, makanan tak sedap la. Apa yang kita minat, apa yang kita suka tak semestinya sama dengan pemikiran orang lain. Manusia ni diciptakan berbeza-beza. Ada orang suka merah, ada yang suka kuning. Rumah dia, biarlah dia nak warna pink pun peti ais dia. Kita tak perlu nak sibuk sangat. Hahaha..


8. Bagitau dulu sebelum nak datang. Walaupun sekarang musim hari raya, tak semua orang sentiasa bersedia dan tak semua orang mampu menyambut tetamu sepanjang masa. Keadaan dan situasi orang kita tak tahu. Tak boleh gunakan alasan "Aku nak ziarah, bukan nak tengok sofa kau". Kena faham yang setiap keluarga perlu jaga aib mereka. Anda mungkin rasa tiada masalah, tetapi mereka malu.

9. Kita kenal keluarga kita sendiri. Jika kita ada anak yang hebat, kita kena kawal sentiasa. Bersedia dari awal, nasihat anak dari awal. Kalau yang jenis tak makan saman tu, peganglah awal-awal. Jangan biarkan mereka bebas usik sana sini, pegang itu ini, lompat situ sini. Tuan rumah tak semestinya faham anak kita. Kita yang kena bersedia dahulu.

10. Jangan duduk lama-lama sangat. Dari Zuhur sampai ke Maghrib ada lagi. Tuan rumah nak melayan orang lain juga. Datang untuk ziarah, bukan untuk jadikan macam homestay sampaikan tetamu lain dah ingat anda ni duduk kat rumah tu dah. Satu cara paling mudah nak tahu bila dah sampainya masa untuk beredar ialah apabila tuan rumah dah takde cerita nak berborak dengan anda. Bila keadaan tu dah senyap, bila dah selesai makan, pandai-pandailah beransur ye. Tapi kalau anda dari jauh, lain ceritanya. Mungkin nak tumpang solat dan lain-lain.


11. Jangan terlalu santai di rumah orang. Sofa orang tu ada satu je, tapi kita boleh pulak baring melintang sampai orang lain pun tak boleh nak duduk. Bantal kat sofa tu pun untuk hiasan sebenarnya, bukan untuk baring tidur. Perabot tuan rumah pun jangan la kita jadi pakar deko nak ubah sana sini pulak tau.

12. Gunakan tandas dengan berhemah. Kalau terpaksa guna untuk yang tak tahan nak memerut tu, bersihkanlah sebersih boleh. Mati tak bernafas orang yang nak guna lepas tu. Dan jangan lupa juga, lepas guna tu tutup pintu dan padamkan lampu. Oh, berus gigi tuan rumah jangan pakai tau. Hahahaha.. Kerja gila..

13. Kalau tuan rumah ada binatang peliharaan, tolong la jaga anak dan jaga diri sendiri. Paling utama kena tahu kebersihan diri sendiri. Kebersihan binatang peliharaan tu pun kena tahu jugak. Perkara ini boleh membahayakan diri dan binatang kesayangan tuan rumah itu juga. Kalau anak kita lasak, tolong la jaga. Ingat kan kes kucing mati sebab tetamu tu? Kesian sungguh kan? Harap tidak berulang lagi.

14. Jangan makan sampai pecah perut. Berpada-padalah terutamanya makan kuih raya tuan rumah. Jangan samakan dengan makan nasik. Habis sebalang kuih orang tu. Orang lain nak makan pun terpaksa tambah. Akhirnya dia jugak yang menghadap lagi. Hahaha.. Masalah sungguh.
________________________


Benda ni nampak mudah dan sepatutnya semua orang boleh faham kan? Percayalah yang tak semua orang faham. Ada je yang rasa benda ni tak perlu ambil tahu.

Semoga senarai ini dapat dijadikan panduan buat semua. Semoga tiada lagi kes-kes yang tidak baik terjadi. Musim perayaan ini kita sambutlah dengan kegembiraan dan bukannya bermasam muka. Boleh?

Kongsikan panduan ini tau. Karang TV kita yang pecah, menangis tak berlagu pulak nanti. Hahaha...

Ada lagi tak panduan beraya yang perlu ditambah, jom kongsi bersama.

Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

Comments

Popular Posts