Perkara-Perkara Dilakukan Isteri Yang Memalukan Suami


Perkara-Perkara Dilakukan Isteri Yang Memalukan Suami.

Tanpa disedari, selama ini anda mungkin memalukan suami tanpa disedari. Setiap manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Termasuklah isteri.

Apabila suami malu, ianya akan terus mencalar egonya. Jangan salah faham. Ego suami atau lelaki ini perlu ada dan jika digunakan dengan baik, bakal menghasilkan seorang insan yang hebat. Sama ada seorang anak lelaki yang hebat, ketua keluarga yang hebat ataupun seorang suami yang hebat. Bukankah itu yang diimpikan semua?

Tambahan pula, jika suami itu malu, ia boleh mendatangkan marah atau pun boleh membuatkan dia memendam rasa. Kedua-dua akibat ini adalah tidak baik.

Jadi, marilah kita buka hati dan melihat apakah perkara-perkara yang dilakukan isteri yang memalukan suami dalam sedar atau tanpa disedari.

1. Meninggikan suara kepada suami.

➡️ Boleh dikatakan satu tindakan yang "paling pantang" dilakukan isteri. Ia bakal menyentap terus jiwa raga suami dan kesannya sangat tidak baik. Kebarangkalian besar, akan ada tindakbalas secara lisan di mana ianya bakal menjadi pergaduhan. Atau suami itu menyimpan kebencian itu di dalam hati. Ini lebih mendatangkan masalah kerana ianya bakal meletup bila-bila masa sahaja.

Satu lagi masalah apabila kebencian itu sentiasa ada dan menyebabkan suami tidak lagi ikhlas dalam membuat semua perkara dengan isteri. Jangan ingat suami tidak ingat, seorang suami akan sentiasa ingat perkara yang menyakitkan hatinya.

2. Meninggikan suara kepada suami di hadapan orang lain.

➡️ Nampak sama seperti di atas, sebenarnya amat berbeza kerana kesannya berganda-ganda. Suami akan malu bukan sahaja dengan dirinya malah dengan orang sekitarnya. Jadi, ia akan bertukar kepada kemarahan dalaman yang membuak-buak. Kebencian terhadap isteri akan berlipat kali ganda. Hatinya akan sakit dan kecewa kerana isterinya telah memalukan dia di hadapan orang. Dia akan terus memikirkan tanggapan orang lain terhadap dirinya, "lemah, takut bini" dan sebagainya.


3. Memperlekehkan suami.

➡️ Sama ada di hadapan orang lain, mahu pun apabila bersendirian, jangan memperlekehkan suami anda dan merendah-rendahkan dia atau keupayaan dia. Suami akan merasa malu dan sangat kecewa.

4. Menunjukkan kuasa di hadapan orang lain.

➡️ Kadang-kala ada jenis suami yang tahap toleransinya tinggi. Dia selalu memberi kuasa terhadap isterinya untuk menentukan banyak perkara. Namun begitu, isteri tidak patut berbangga dan menunjukkan kuasanya di hadapan orang lain. Contohnya jika ada saudara mara datang ke rumah, si isteri akan bertanya kepada suami di hadapan keluarganya, "baju dah basuh ke? Tadi kan I suruh U buang sampah? Kenapa tak buat lagi?". Soalan itu jika berdua mungkin tidak apa. Tetapi bila di harapan orang lain, memang akan memalukan suami.

5. Bercerita keburukan suami dengan orang lain.

➡️ Sama ada di alam realiti atau media sosial, jangan sekali-kali memburukkan suami dengan orang lain. Pastinya akan memalukan suami itu. Tidak kira betapa teruknya suami itu, jangan diceritakan kepada semua orang. Jika dengan niat untuk mendapatkan nasihat secara peribadi dari orang yang ahli, itu lain kategorinya dan perlu dibuat tanpa pengetahuan orang lain.

6. Cabar mencabar suami di hadapan orang.

➡️ Mungkin ada ketikanya isteri sangat marah kepada suami sehingga berani mencabarnya di hadapan orang lain. Ini satu tindakan yang tidak baik dan bakal menjadi buruk. Jika suami itu terlalu malu, besar kemungkinan dia akan mengikut amarahnya. Ada peribahasa dalam English menyatakan "Be careful what you wish for, you might get it". Berhati-hatilah apabila mengharapkan sesuatu, anda mungkin akan betul-betul dapat apa yang dihajati. Ini selalunya digunakan terhadap hajat atau cabaran yang tidak baik.



7. Tidak mengendahkan atau melayan suami di hadapan orang lain.

➡️ Nampak seperti biasa sahaja kan? Tapi saya bagi satu senario. Apabila di hadapan mertua, isteri tidak melayan suaminya makan. Dibiarkan suami melayan diri tanpa dipedulikan. Jangan salah faham, jika si isteri sedang sibuk itu lainlah, contohnya kena uruskan anak atau perkara lain. Tetapi sekurang-kurangnya beritahu "abang makanlah dulu ye, sayang nak susukan anak dulu". Ini jauh lebih baik dari membiarkan sahaja. Jangan sampai keluar soalan-soalan dari mak ayah suami sendiri tentang kenapa isteri tak makan sama, kenapa isteri tak layan dan lain-lain. Ia memang amat memalukan.

8. Membanding-bandingkan suami dengan orang lain.

➡️ Setiap manusia ada kebaikan dan kelemahan masing-masing. Tidak perlu membanding-bandingkan suami anda. Jika dia tidak seperti yang anda impikan, berusahalah bersama. Mungkin dia perlukan dorongan isterinya dan bukannya perbandingan dengan orang lain.

9. Tag suami di post yang negatif atau tag suami di post positif tetapi dengan cara yang tidak baik.

➡️ Tag itu tak salah. Cara tag dan di mana ianya ditag itu yang selalunya tersilap. Contohnya post "10 tanda lelaki curang". Si isteri tag si suami dengan perkataan "nah, hadam telan sedut hisap dan serap dalam-dalam !" Sudah tentunya suami itu akan malu kerana masalahnya telah diketahui orang ramai. Tak perlu pun tag di situ. Walaupun sebenarnya tak ramai yang peduli pasal orang yang ditag tu, cuma, jika ada yang mengenali, ianya bakal memalukan. Cara tag yang lebih baik ialah dengan hanya tag di post yang positif dan membawa kebaikan sahaja DAN beserta ayat yang seakan memujuk. "Sayang, jom kita tambah ilmu rumahtangga" atau "kita buat sama-sama nak?". Ini gunanya supaya orang tidak berprasangka.

10. Tidak menjaga tingkah laku.

➡️ "Bini siapa tu? Mulut macam tempayan". Ini satu contoh apa yang dibuat isteri, tempiasnya adalah pada suami. Jika di media sosial, sering meroyan di post sendiri dan post orang lain, sudah tentulah orang akan kasihankan suaminya atau beranggapan suaminya tidak mengajar si isteri. Di dunia realiti pun sama, jagalah tingkah laku anda supaya anda tidak memalukan suami sendiri. Percaya atau tidak, anda diperhatikan.


11. Tidak menjaga penampilan suami.

➡️ Ini selalu orang pandang remeh. Si isteri bersiap sejam paling kurang. Tapi suaminya selekeh, baju seluar tak bergosok, rambut berserabut, misai janggut bersepah, ketiaknya tengik, gigi pun kuning semacam.

Bukan salahkan isteri tak bersihkan suami, tetapi tidak menegur dan menekankan betapa pentingnya menjaga penampilan. Tak suruh jadi pasangan hebat macam artis, cukup sekadar nampak terurus sahaja. Betul, memang ada lelaki yang tak kisahkan langsung bab ini atau tidak pandai nak menyemat, tapi di sinilah datangnya peranan isteri untuk membuatkan suaminya nampak baik dan kemas. Memang ada juga yang jenis tak reti langsung nak kemas, memang semulajadinya jenis tak pandai.. Percayalah, kadang-kala suami malu nak berdiri sebelah isterinya yang cantik bak bidadari.

Bila saya menulis mengenai satu topik, tidak semestinya saya tidak mengendahkan topik yang lain. Jadi janganlah beri ayat "macam mana pulak dengan suami yang memalukan isteri?". Sudah tentulah saya akan persembahkan di dalam penulisan akan datang. In Shaa Allah.

Saya sertakan sekali bagaimana untuk elakkan dari memalukan suami.

↪ Tegur di belakang jika ada yang perlu ditegur.
↪ Peka dengan penampilan suami.
↪ Cakap dengan tenang baik tanpa perlu meninggi suara.
↪ Persembahkan cara memperbaiki tanpa menyebut nama orang lain.
↪ Mengalah bila perlu. Gunakan teknik tarik tali. Gunakan kelembutan apabila ingin menyampaikan sesuatu.
↪ Sayangi suami dengan sepenuh hati.

Belailah ego lelaki dengan baik supaya dapat digunakan untuk kebaikan si isteri.

Semoga dengan pencerahan ini dapatlah para isteri lihat kembali jika ada perkara yang telah dibuat dalam sedar atau tidak.


Jadilah isteri yang menjaga hati suami. Jika anda sebagai isteri mahukan layanan bak Permaisuri, layanlah suamimu seperti Raja. Anda pasti tidak akan menyesalinya.

Jika ada tambahan dari apa yang telah saya tulis, sila utarakan di komen. Apa yang saya harapkan ialah kita berbincang dengan baik dan bersama-sama meningkatkan kualiti perhubungan sesama pasangan.

Silakan SHARE penulisan ini supaya kebaikan ini dapat disebarkan seluas-luasnya.

Jemput follow saya di Facebook 👉 Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Jom join SUPERGROUP TELEGRAM saya di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Klik ➡️ BroOhsem Fans ⬅️

BroOhsem

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »